Katanya, antara alasan popular untuk merentas sempadan ialah atas urusan perniagaan, tuntutan kerja, menghantar dan mengambil anak, menziarahi orang tua uzur, selain kematian.
"Sehingga kini, lapan individu dikompaun RM5,000 atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran.
"Antara kesalahan sering dilakukan ketika merentas sempadan Terengganu-Kelantan ialah mengemukakan surat kebenaran lama yang sudah luput tarikh," katanya kepada pemberita di sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Tok Saboh di sempadan Terengganu-Kelantan semalam.
Roslee berkata, kawalan dan pemantauan lebih ketat kini dilaksanakan di semua 26 laluan tikus di sempadan Besut, Terengganu-Pasir Putih, Kelantan.
Katanya, pasukan pemantau ditambah kepada 150 berbanding 135 pasukan sebelum ini, membabitkan 1,000 petugas termasuk polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Roslee turut mengiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memantau antara 26 laluan tikus yang ada di sepanjang daerah ini dan Pasir Puteh, Kelantan.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, penduduk perlu mengambil iktibar peningkatan ketara kes jangkitan COVID-19 di Pantai Barat.
"Situasi di negeri ini masih terkawal dan penduduk perlu sentiasa patuh pada SOP untuk mengelakkan jangkitan terus merebak ke tempat lain," katanya.