Kenderaan 'tersadai', cemar pemandangan dan hadkan petak parkir awam

oleh SALINA JALIL|
gambar - Fariz Iswadi Ismail
Kewujudan belasan kenderaan buruk dan rosak yang dibiarkan tersadai di sepanjang Jalan PJU 10/10B Saujana Damansara, di sini, sejak beberapa tahun lalu mencacatkan pemandangan kawasan berkenaan.


Malah, keadaan itu juga menyebabkan pekerja bagi premis yang menyewa di kawasan terbabit berdepan masalah kekurangan parkir.


Pekerja syarikat pembuatan, Robert Lua Khang Hui, 39, berkata, masalah itu disedari selepas pejabatnya berpindah ke lokasi ini sejak Ogos tahun lalu.

PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

 

 

"Bukan saja kereta, malah ada van dan lori yang dibiarkan tersadai di sini selama berbulan-bulan. Keadaan ini menyebabkan kawasan ini menjadi kotor apabila kenderaan itu dipenuhi sampah-sarap serta dahan dan daun pokok sekali gus mengundang penyakit berbahaya seperti denggi.

 

"Selain itu, pekerja di kawasan ini berdepan masalah tiada parkir sehingga kami terpaksa meletakkan kenderaan secara berlapis (double park)," katanya lagi.

 

Robert berkata, dia mewakili syarikatnya ada membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berhubung perkara itu.

 

"Dianggarkan sudah lebih 10 aduan saya kemukakan kepada MBPJ berhubung perkara ini sejak September tahun lalu hingga Mac lalu.

 

"Ada beberapa kali pihak MBPJ ada letakkan notis merah atas kenderaan berkenaan, namun esoknya notis itu sudah 'hilang' dan tiada tindakan mengalihkan kenderaan terbabit dilakukan," katanya.

 

Katanya, dia sendiri tidak pernah melihat kelibat pemilik kenderaan berada di kawasan terbabit.

 

"Saya tidak tahu siapa pemilik kenderaan ini. Mereka (pemilik kenderaan) mungkin memilih meletak kenderaan buruk dan rosak di kawasan ini disebabkan tiada kupon bayaran dikenakan.

 

"Saya harap pihak MBPJ dapat mengambil tindakan segera berhubung perkara berkenaan yang sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu supaya kawasan ini bersih dan tiada masalah parkir," katanya.

 

Sementara itu, jurucakap Sekretariat Media MBPJ berkata, pihaknya akan mengambil tindakan secara berperingkat berhubung masalah terbabit memandangkan jumlah aduan yang banyak dan tempat simpanan terhad.

 

"Sebelum tindakan menarik kereta ke tempat simpanan dilakukan, MBPJ perlu mengikut proses perundangan semasa dengan memberi notis terlebih dahulu kepada pemilik supaya mengalihkan kenderaan.

 

"Selepas tamat notis, barulah tindakan sitaan dan menarik kereta boleh dilakukan. Justeru itu, kami memohon supaya pihak terbabit untuk bersabar.

 

"Tindakan sitaan akan dilakukan sebaik ada kekosongan di tempat simpanan. Buat masa ini, kami sedang mendapatkan tempat simpanan bagi menampung jumlah aduan yang banyak," katanya.

 

Katanya, MBPJ menyeru kepada pemilik kenderaan terbiar supaya lebih bertanggungjawab dengan melupuskan sendiri kenderaan mereka.

 

 

 

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut Brian Gu, Presiden dan Naib Pengerusi untuk Xpeng Motors, teknologi pemanduan pintar (smart…
Berita Domestik
Menurutnya, kejadian dilaporkan jam 4.10 petang sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan…
Berita Domestik
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar bersama sebuah jentera dikejarkan ke…