Kepakaran anak Malaysia bantu MotoGP Kazakhstan

oleh Penyumbang Rencana|
Kepakaran tenaga kerja Malaysia diperlukan bagi membantu kelancaran perlumbaan di Litar Antarabangsa Sokol dekat Kazakhstan yang dijadual menjadi tuan rumah bagi Pusingan 8 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada pertengahan Jun ini.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir yang menyatakan kesemua tenaga kerja pakar ini adalah dari pihaknya dan pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Mokhzani berkata, untuk tugas berkenaan pihaknya menjangkakan seramai 400 tenaga kerja akan dibawa ke sana dan kali ini, ia mengambil satu jumlah yang besar berbanding yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Benar dan kita sedang mengkaji apakah keperluan mereka. Trek ini di luar Almaty dan tuan punya trek (Sokol) meminta kita memberi, berkongsi tenaga kerja dan kepakaran yang kita ada.

"Dulu, ketika kali pertama kita anjurkan F1 (Formula Satu) pada 1999 di SIC (Litar Antarabangsa Sepang), kita dapat dorongan daripada pegawai dari Litar Estoril (Portugal). Malah pegawai kita juga pernah pergi ke tempat (negara) lain apabila F1 kali pertama dianjurkan di litar baharu.

"Sekarang ini, kita dijemput untuk menolong satu lagi litar baharu. Untuk itu, kita dalam proses mengkaji sama ada cukup atau tidak pegawai dan kakitangan diperlukan untuk menggalas tugas sebagai marshal, steward dan semuanya. Ia seperti kita membawa seluruh kepakaran di SIC ke sana (Sokol).

"Dijangkakan mereka akan ke sana tidak sampai seminggu dan kita buat ini, untuk berkongsi pengalaman dengan pihak di sana supaya pada satu masa nanti, mereka dapat menguruskan litar itu," kata Mokhzani ketika ditemui media selepas Rumah Terbuka MAM, pada Khamis.

Litar Sokol yang mengikat perjanjian selama lima tahun untuk berada dalam kalendar MotoGP sepatutnya menganjurkan perlumbaan berprestij itu pada tahun lalu namun dibatalkan kerana belum siap sepenuhnya.

Sokol mempunyai jarak sepanjang 4.495 kilometer (km) dan menggunakan kepakaran arkitek berpengalaman luas dalam pembinaan trek iaitu Hermann Tilke dari Jerman - individu yang sama digunakan untuk pembinaan Litar Antarabangsa Sepang.

 

Berita Harian