"Perkhidmatan swasta seperti scrut.my itu adalah dibuat secara sukarela oleh pembeli atau peniaga dan ia adalah untuk kenderaan yang sudah tiba di Malaysia," ujar beliau.
Scrut.my juga tidak ada kaitan dengan KPDNHEP atau mana-mana agensi kerajaan yang lain, tambahnya.
"Projek yang bakal diperkenalkan oleh KPDNHEP dan MARII ini ialah lebih berkonsepkan kepada syarat bawa masuk kenderaan. Rekod kenderaan terpakai itu akan diselidik berdasarkan rekod lampau yang diperolehi dari negara asal kenderaan tersebut. Hanya yang baik sahaja akan diberikan kebenaran untuk masuk ke dalam negara," tambah sumber Careta itu lagi.
"Ini berbeza dari pemeriksaan oleh Puspakom, milik DRB Hicom. Puspakom hanya melakukan pemeriksaan secara kosmetik sahaja dan tidak cukup mendalam," katanya lagi.
Beliau kemudian menambah bahawa projek ini akan diumumkan dalam tahun ini dan selepas lima tahun, ia akan diperkenalkan untuk kenderaan-kenderaan terpakai dalam pasaran tempatan.
Usaha oleh KPDNHEP dan MARII ini sangat tepat dan ia melindungi hak pembeli dan juga pihak bank kerana selama ini, sukar untuk menentukan rekod lampau kenderaan terpakai dari negara luar kerana ia tidak diwajibkan oleh pihak kerajaan.
Selama ini pengguna tidak tahu samada jarak perbatuan itu benar atau tidak dan adakah kenderaan yang dibeli itu pernah terbabit di dalam kemalangan.
Di negara-negara maju, semua rekod-rekod itu boleh diminta oleh pembeli. Di UK contohnya, sekiranya penjual didapati "memusingkan" jarak perbatuan, ia boleh ditangkap dan dipenjarakan. Di Malaysia, selama ini perbuatan itu mungkin dianggap tidak masuk akal kerana semua penjual adalah jujur.
Sudah tiba masanya pengguna diberi lebih kuasa untuk memilih.