Kerajaan Kelantan akan ambil alih pembangunan KB Sentral jika kontraktor dilantik tak ikut syarat

oleh Penyumbang Rencana|
Lakaran pembinaan Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral)
Kerajaan Kelantan memberi kata dua kepada syarikat Perak Transit sama ada meneruskan projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) mengikut syarat yang ditetapkan atau melepaskan tanggungjawab tersebut.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadhli Hassan, menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan menunggu lebih lama dan bersedia mengambil alih pembinaan sekiranya pemaju berkenaan masih mahu berunding mengenai syarat tambahan.
CHERY Omoda 5 MREC Banner Campaign March 2025

Menurut beliau, kerajaan negeri menetapkan tempoh tertentu bagi Perak Transit untuk membuat keputusan dan sekiranya mereka enggan menerima syarat tersebut, projek itu akan dibangunkan sendiri oleh kerajaan negeri tanpa melibatkan mana-mana syarikat lain.

“Kita sudah berikan syarat yang perlu dipatuhi. Jika mereka setuju, kita teruskan.

“Jika tidak, kerajaan negeri akan mengambil alih dan membangunkan sendiri projek ini dan kami juga tidak akan mencari syarikat lain selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas Mahabbah Kepimpinan Kerajaan Negeri bersama Media Kelantan 2025.

Dr Mohamed Fadhli turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri berusaha memberikan peluang kepada beberapa kontraktor sebelum ini, namun projek tersebut sering tergendala akibat masalah di pihak pemaju.

“Keutamaan kita adalah untuk memastikan projek ini siap dan beroperasi pada 2027 serta dapat digunakan oleh rakyat Kelantan.

“Sebelum ini, beberapa kontraktor diberikan tanggungjawab tetapi gagal menyiapkan kerja mereka, menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mencari alternatif lain,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa syarat utama yang dikenakan terhadap Perak Transit adalah melantik syarikat China Communications Construction Co Ltd (CCCC) sebagai kontraktor utama bagi memastikan kelancaran pembinaan.

“CCCC terbukti mempunyai rekod baik dalam melaksanakan projek Laluan Rel Pantai Timur yang terletak bersebelahan KB Sentral.

“Oleh itu, kita mahu mereka dilantik bagi memastikan projek ini siap dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mohamed Fadhli menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan kelewatan atau sebarang rundingan tambahan yang boleh melambatkan proses pembinaan.

“Perak Transit memang mempunyai pengalaman membangunkan beberapa terminal bas dan sistem pengangkutan, tetapi jika mereka masih mahu berunding mengenai syarat, kita tidak boleh menunggu lebih lama.

“Tempoh sudah diberikan dan keputusan mesti dibuat segera,” tegasnya.

Projek KB Sentral yang dianggarkan bernilai RM64 juta merangkumi pelbagai komponen seperti pusat beli-belah dan kediaman.

Kerajaan negeri itu bagaimanapun memberi fokus utama kepada pembinaan terminal bas terlebih dahulu, manakala bahagian lain akan diselesaikan kemudian.

“Fokus kita sekarang adalah memastikan terminal bas siap mengikut jadual.

“Komponen lain seperti pusat beli-belah boleh dibangunkan selepas itu,” tambahnya.

 

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd…