Kerajaan luluskan pelaburan pembuatan modul solar bernilai RM42.2b

oleh SALINA JALIL|
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa syarikat pengeluar modul solar kelima terbesar dunia, Risen Energy Co Ltd yang berpangkalan di China dibenarkan melabur RM42.2 bilion di Malaysia bagi tempoh 15 tahun, bermula tahun ini.


Risen Solar Technology Sdn Bhd mendapat kelulusan Lesen Pengilang dan Galakan Insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi aktiviti reka bentuk, pembangunan dan pengilangan sel serta modul solar.

PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Pelaburan itu dijangka menyediakan 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini dalam tempuh lima tahun, dari 2021 sehingga 2025.

 

Selain itu syarikat berkenaan juga akan menjalinkan kerjasama dengan universiti dan institusi tempatan dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk pengambilan pelajar secara 'internship'.

 

"Saya juga yakin kehadiran Risen Solar Technology Sdn Bhd akan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran berintegrasi bagi produk solar," kata beliau melalui Facebooknya, hari ini.

 

Mesyuarat pagi tadi itu turut disertai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman.

 

Perdana Menteri memaklumkan, ketika ini, terdapat beberapa syarikat pengeluar global solar yang sedang beroperasi di Malaysia seperti Jinko Solar, Longi Solar, JA Solar, Hanwha Q Cell, First Solar dan Sun Power.

 

Perdana Menteri sebelum itu mengadakan mesyuarat dengan Pengerusi dan Presiden Risen Energy Co Ltd, Xie Jian secara maya.

 

Beliau berkata, trend kemasukan berterusan pelaburan asing berimpak tinggi seumpama itu akan menyuntik lebih keyakinan dalam kalangan komuniti pelabur luar terhadap prospek pemulihan ekonomi Malaysia, selari dengan aspirasi Pelan Pemulihan Negara.

 

"Ini pastinya akan membawa manfaat besar kepada masyarakat dari segi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan," katanya.

 

 

TheStar