Menurutnya, daripada jumlah itu, perairan Terengganu paling banyak melakukan pelupusan iaitu 159 bot membabitkan nilai RM238.5 juta bermula 2010 hingga kini.
"Kedudukan perairan Pantai Timur yang bersempadan dengan Vietnam menyebabkan nelayan negara terbabit kerap melakukan pencerobohan.
"Paling banyak pencerobohan dilakukan di perairan Terengganu meskipun ia berkedudukan agak jauh iaitu 132 batu nautika berbanding perairan Kelantan.
"Kesemua bot yang dilupuskan adalah bot sudah dilucut hak oleh mahkamah menggunakan dua kaedah iaitu ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan dan hancur musnah," katanya pada sidang media selepas melakukan pelupusan tiga bot nelayan Vietnam di Perairan Pulau Bidong, di sini, tadi.
Hadir sama, Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid.
Khairul berkata, pelupusan tiga bot yang ditahan sepanjang tahun lalu adalah sumbangan APMM kepada pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi aktiviti penyelidikan kajian akademik di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT, Pulau Bidong.
Katanya, ketiga-tiga bot itu ditahan melalui Op Naga Barat dan Op Kuda Laut yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas oleh Kapal Maritim (KM) GEMIA dan KM NUSA.
Program pelupusan berkenaan turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (1SMAT).
Jelasnya, pihaknya akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga aktiviti yang melanggar undang-undang di sekitar perairan negara, Sabah dan Sarawak.