Kereta api Ekspres Rakyat Timuran rempuh 14 lembu

oleh Mohamad Hanif|
sekadar hiasan
Laman Bernama melaporkan sebuah kereta api Ekspres Rakyat Timuran telah merempuh 14 ekor lembu di KM84.0-KM84.75 antara Stesen Bahau dan Stesen Triang, Bera baru-baru ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Daerah Bera Supt Zulkiflee Nazir berkata dalam kejadian sekitar 3.10 pagi itu tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan ke atas 336 penumpang dan lima kru kereta api.

Katanya pelanggaran itu mengakibatkan kesemua lembu mati selain berlaku beberapa kerosakan pada tren lapan gerabak itu antaranya di bahagian enjin.

“Perjalanan tren dari Gemas, Negeri Sembilan ke Tumpat, Kelantan itu kemudian diteruskan selepas pemeriksaan kerosakan dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Sementara itu, beliau berkata insiden berkenaan bukannya yang pertama dilaporkan di lokasi berkenaan, berikutan telah berlaku kejadian sama pada 31 Oktober lepas apabila tren membawa 400 penumpang melanggar lima ekor lembu.

Beliau berkata tindakan sewajarnya harus dilakukan oleh pihak terbabit termasuk penternak yang perlu lebih bertanggungjawab dalam menjaga haiwan ternakan mereka.

“Tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkaitan perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk di masa akan datang,” katanya.

Sumber: Bernama melalui Harian Metro