Kereta api penumpang bertembung - 32 maut di Mesir

oleh SALINA JALIL|
Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dan 66 cedera apabila dua kereta api bertembung di selatan Mesir hari ini, kata kementerian kesihatan.


Ini adalah kemalangan maut kereta api terbaharu yang melanda negara itu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Satu kenyataan menyatakan, puluhan ambulans bergegas ke lokasi kejadian di daerah Tahta, wilayah Sohag, kira-kira 460 kilometer di selatan ibunegara, Kaherah.

'32 orang terbunuh dan 66 cedera' dan dibawa ke hospital, kata kenyataan itu.

 

Rakaman video yang dilihat oleh AFP menunjukkan beberapa gerabak kereta api terbalik.

 

 

 

Kemalangan maut kereta api sering berlaku di Mesir dalam beberapa tahun kebelakangan ini, yang banyak disalahkan atas faktor infrastruktur yang tidak mencukupi dan penyelenggaraan yang buruk.

 

Salah satu kemalangan maut paling buruk berlaku pada 2002 ketika 373 orang mati apabila api meletus dalam kereta api yang sesak di selatan Kaherah, dan sejak itu banyak kemalangan maut berlaku.

 

Pada Mac tahun lalu, sekurang-kurangnya 13 orang cedera ketika dua kereta api penumpang berlanggar di Kaherah, mencetuskan penangguhan perkhidmatan kereta api di seluruh negara.

 

Pengurus kereta api menyalahkan kemalangan itu akibat isyarat yang tidak berfungsi dalam cuaca buruk.

 

Pada Februari 2019, sebuah kereta api tergelincir dan terbakar di stesen kereta api utama Kaherah yang menyebabkan lebih 20 orang maut dan mendorong menteri pengangkutan meletak jawatan.

 

Kemalangan hari ini berlaku ketika Mesir menghadapi satu lagi cabaran pengangkutan yang besar, dengan sebuah kapal kontena besar menyekat Terusan Suez dan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di kedua-dua hujung laluan pelayaran strategik itu.

 

Kapal MV Ever Given, yang lebih panjang dari empat padang bola sepak, telah melanggar tebing di Terusan Suez dan berada dalam kedudukan mengiring serta menghalang trafik di sepanjang terusan itu.

 

Kapal tunda dan kapal pengaut sedang berusaha membebaskan kapal itu hari ini kerana syarikat perkapalan terpaksa mengubah laluan pelayaran dari jalur perkapalan penting di hujung selatan Afrika itu

 

 

. - AFP/Berita Harian