Satu perkara menarik tentang casis LB744 ialah struktur depan dibuat daripada Forged Composite. Teknologi itu dipaten dan digunakan Lamborghini sejak 2008 lagi.
Jika anda biasa melihat pelekat atau balutan kereta forged carbon, asalnya adalah gentian karbon dari kereta Lamborghini.
LB744 merupakan kereta super sport pertama menggunakan struktur depan 100 peratus gentian karbon dan turut digunakan pada struktur kon depan kereta.
Penggunaan bahan itu dibuat bagi memastikan tahap penyerapan tenaga yang jauh lebih tinggi berbanding struktur besi sebelum ini.
Lamborghini memaklumkan daya penyerapan sekali ganda lebih tinggi berbanding rangka aluminium yang digunakan pada Aventador dan lebih ringan.
Seperkara lagi, casis monofuselage LB744 sepuluh peratus lagi ringan daripada casis Aventador dan rangka depan 20 peratus lebih ringan berbanding aluminium sebelum ini.
Ketegaran kilasan (torsional) pula lebih baik dengan nilai 40,000 Nm/° atau 25 peratus lebih tinggi berbanding Aventador.
Casis belakang LB744 dibuat daripada aloi aluminium kekuatan tinggi dengan dua 'hallow casting' untuk bahagian atas penyerap hentak (shock tower) dan suspensi rangkaian kuasa.
Kesemua itu disatukan kepada satu komponen bagi mengurangkan berat, meningkatkan ketegaran dan mengurangkan garisan kimpalan.
Kunci utama kenapa Lamborghini sibuk mengurangkan berat adalah kerana LB744 merupakan kereta hibrid. Maknanya komponen bertambah dan lebih berat.
Dari segi kuasa, kelebihan motor elektrik terletak pada pecutan dan output yang tinggi.
Enjin 6.5 liter V12 LB744 menghasilkan 814 kuasa kuda (hp) dan tork 725Nm. Kombinasi pakej elektrik pula menghamburkan 1,001 hp!
Penulis: Muhammad Md Tajudin