Kereta hilang kawalan penyebab bas terbalik

oleh Hamimah Hamid|
KERETA hilang kawalan dan memasuki lorong kiri dipercayai penyebab bas terbalik di KM264.5 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan dekat Ipoh sehingga menyebabkan 40 penumpang termasuk pemandu bas cedera pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia 44 tahun telah hilang kawalan dan memasuki laluan bas di lorong kiri.

Katanya, kereta yang dipandu dari Kulim, Kedah ke Ipoh itu seterusnya melanggar bahagian sisi kanan belakang bas tersebut.

 

"Kemalangan berlaku sekitar jam 7.20 pagi, akibat pelanggaran kereta itu berpusing 360 darjah dan sekali lagi melanggar bahagian hadapan kanan bas.

 

"Pelanggaran mengakibatkan bas hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam longkang di bahu kiri jalan, " katanya.

 

Menurut Abang Zainal Abidin, pelanggaran menyebabkan 39 penumpang bas berusia di antara sembilan hingga 80 tahun cedera.

 

Katanya, kesemua mangsa termasuk pemandu bas yang cedera telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Klinik Greentown, Ipoh bagi rawatan lanjut.

 

"Seramai 21 orang mangsa yang cedera parah dan ringan kini dirawat di HRPB, manakala 20 lagi termasuk pemandu kereta dan bas tidak cedera," katanya.

 

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa).

 

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Jong Pit Chiao, di talian 016-8849163 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

 

Terdahulu, 41 orang termasuk pemandu terselamat setelah bas persiaran yang dinaiki mereka terbabas lalu terbalik di kilometer (km) 264.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan.

 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, bas tersebut terbabit kemalangan dengan sebuah kereta.

 

Difahamkan kesemua mereka dari bas tersebut dalam perjalanan dari Kupang, Kedah ke Ipoh bagi menghadiri majlis keagamaan.