Lihat sahaja watak Iron Man/Tony Stark yang dilihat 'setia' memandu kereta-kereta Audi di dalam setiap filem yang dibintangi, dan Hyundai melihat ini sebagai satu peluang besar untuk direbut.
Menerusi perjanjian yang ditandatangani antara Hyundai dan Sony, kedua-dua syarikat Korea dan Jepun itu bersetuju untuk melakukan penempatan produk ke dalam lima buah filem Sony akan datang.
Salah sebuah daripada filem tersebut adalah sekuel kepada filem animasi Spider-Man: Into the Spider-Verse dan juga sekuel filem aksi sebenar Spider-Man: Far From Home - masing-masing dijadualkan tayangannya pada Oktober 2022 dan November 2021.
Perjanjian tersebut turut merangkumi sebuah lagi filem yang dijadualkan tayangannya pada Julai 2021, iaitu Uncharted - filem aksi sebenar yang dibuat berasaskan fraincais permainan video yang berjudul sama.
Menurut Hyundai, kerjasama ini bakal menawarkan peluang yang lebih meluas untuk pengeluar tersebut mempromosikan visi Hyundai "human-centered future mobility" kepada umum.
Pada filem Spider-Man: Far From Home yang ditayangkan pada tahun lalu, kelibat pelbagai model Audi banyak diperlihatkan seperti Audi E-Tron, Audi A7 dan Audi Q8.