Kerjasama strategik - TNB bersama PLUS akan bina kemudahan mengecas kereta elektrik

oleh SALINA JALIL|
Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan melabur RM90 juta dalam tempoh tiga tahun bagi menyokong ekosistem kenderaan elektrik (EV) di negara ini untuk memanfaat potensi nilai pasaran RM1.3 bilion menjelang 2030.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Baharin Din, berkata pelaburan berkenaan termasuk pembinaan infrastruktur mengecas EV menerusi menjalin kerjasama strategik dengan PLUS Malaysia Bhd untuk menyediakan infrastruktur berkenaan di rangkaian lebuh raya PLUS.

 

Beliau berkata, selain pembinaan infrastruktur mengecas EV di lebuh raya PLUS, TNB juga akan membina infrastruktur berkenaan di jalan raya di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) terutama bagi laluan utama.

 

Katanya, TNB juga akan menjalin kerjasama dengan peserta EV, penggunaan EV bagi kenderaan syarikat, meningkat dan memperkasakan kemahiran tenaga kerja dalam EV serta menaja pengajian berkaitan EV untuk menyokong ekosistemnya di negara ini.

 

"Semua usaha ini adalah untuk menggalakkan permintaan terhadap penggunaan EV di negara ini dengan sasaran 500,000 kenderaan sedemikian di jalan raya Malaysia menjelang 2030.

 

"Setengah juta EV itu diterjemahkan kepada kira-kira 2.318 jam terawatt (TWh) keperluan mengecas elektrik bernilai hampir RM1.26 bilion," katanya pada taklimat mengenai Peralihan Tenaga TNB di Kuala Lumpur, hari ini (Selasa).

 

Mengulas lanjut, Baharin berkata usaha memasang infrastruktur mengecas pantas di rangkaian lebuh raya PLUS itu dijangka bermula September ini.

 

Beliau berkata, TNB mempunyai kelebihan berbanding peserta lain membabitkan penyediaan komponen dalam ekosistem EV di negara ini dengan keupayaannya untuk menyediakan bekalan elektrik, pembinaan infrastruktur mengecas dan perisian jaringan.

 

Katanya, aplikasi mudah alih akan digunakan untuk memudahkan pengguna EV melanggan untuk mengecas kenderaan masing-masing.

 

"Selain PLUS, kami juga akan menjalin kerjasama dengan pengendali lebuh raya lain di negara ini bagi menggalakkan penggunaan EV dalam kalangan rakyat.

 

"Kami mengalu-alukan kerjasama dengan rakan strategik untuk merangsang pertumbuhan ekosistem EV," katanya.

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Plus melalui satu kenyataan berkata, kesemua 560 pelanggan RFID tersebut telah memenangi 10,000…
Informasi
  "PLUS sentiasa melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan…
Informasi
  "Pengguna yang memilih menggunakan RFID juga perlu memastikan masuk dan keluar dari lebuh raya…