Kes bas bunuh pelajar 16 tahun - sampai bila kita hendak lihat tragedi begini

oleh HEZERI SAMSURI|
Berita mengenai perasaan ibu kepada Allahyarham Muhammad Saifullah Mohammad Hafiez, pelajar berusia 16-tahun yang terbunuh apabila sebuah bas hilang kawalan dan merempuh beliau di Bayan Lepas pada Khamis minggu lalu sangat meruntun jiwa saya.

Sebagai seorang bapa, saya faham perasaan Siti Hajar Ghazali, 38 tahun. Anak yang kita jaga selama ini, meninggal dunia kerana kelalaian orang lain.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Lebih menyedihkan Saifullah bekerja sambilan sejak Ramadhan lalu untuk mengurangkan beban keluarganya.

Anak semuda 16-tahun sudah tahu tanggungjawabnya, dan walaupun masih belajar, sudah mahu membantu keluarganya.

Di dalam tragedi jam 6.30 pm itu, sebuah bas yang datang dari arah Persiaran Kelicap ke Sungai Ara hilang kawalan dan melanggar beberapa kenderaan, termasuk Saifullah, di persimpangan lampu isyarat itu.

Bas tersebut terhenti apabila melanggar tembok rumah teres berhampiran dan hampir melanggar dinding rumah tersebut.

Akhbar The Star melaporkan Pegawai OCPD Balik Pulau, Supt A. Anbalagan berkata pemandu bas itu ditahan dan didapati memandu tanpa lesen dan positif untuk dadah jenis methamphetamine.

Pemandu itu ditahan reman selama dua hari.

 

 

Ini bukan berita baharu. 

Insiden kemalangan kenderaan berat yang mengakibatkan kematian orang awam sudah berlaku banyak kali, namun tidak banyak yang kita tahu tindakan yang dikenakan kepada pemilik kenderaan-kenderaan itu.

Saya sendiri musykil, adakah tertuduh memandu bas itu tanpa pengetahuan pemilik bas itu sendiri atau memang beliau dibenarkan memandunya?

Apa pun, undang-undang lebih ketat perlu dilakukan agar industri tersebut dikawal dengan lebih baik.

Ya, kemalangan maut akibat kenderaan besar tidak setinggi kematian pengguna motosikal, tetapi ia tidak bermakna kita tidak perlu endahkan isu ini.

Pemilik kenderaan-kenderaan berat dan juga bas perlu diberikan hukuman sekiranya terbukti mereka langsung tidak memeriksa siapa pemandu-pemandu mereka.

Paling saya sedih ialah bila aktivis-aktivis keselamatan seolah-olah "memilih" kes-kes yang mereka hendak "perjuangkan".

Tidak kedengaran suara lantang seperti menyuruh kerajaan mengharamkan motosikal.

Tidak kedengaran suara lantang meminta kerajaan membataskan kelajuan motosikal.

Tidak kedengaran suara lantang meminta basikal lajak diharamkan kerana kanak-kanak itu tidak ada potensi.

Keselamatan jalanraya adalah milik bersama tetapi nampaknya elitist ini cuma pandai memilih isu di mana "mangsa" adalah mereka yang tidak mampu melawan balik.

Tidak ada ramai yang berani menyentuh isu pengawasan yang terlalu kurang. Semua mahukan "self regulation" di antara pengguna, sedangkan hak pengguna sendiri tidak begitu diberikan kepentingan di Malaysia.

Ia umpama hendak menyuruh anak burung belajar terbang, tetapi dikurung di dalam sangkar kecil. Dan menyedihkan bila seorang pun tak berani hendak berkata kerajaan perlu lebih pro-aktif.

Perlu diingatkan, pelajar berusia 16-tahun itu menunggang motosikal kerana beliau bekerja untuk membantu keluarganya.

Berapa ramaikah yang menggunakan motosikal untuk mencari rezeki dan berapa ramaikan yang menggunakan motosikal untuk berlumba haram? 

Adakah kita patut berdiam diri di atas tragedi ini, atau tragedi-tragedi sebelum ini dan yang bakal berlaku?

Amalan negara Malaysia menghormati pemimpin kerana pangkat dan bukan kerana kebolehan sering mengabui mata pemimpin-pemimpin itu sendiri.

Jadi fikirkan, anda dihormati kerana pangkat atau kerana kebolehan anda sendiri?

Atau anda tidak kisah kerana bila ada pangkat, everybody else is just below me.

Yang pasti, bila pejuang-pejuang elitist ini berbunyi, kita ramai-ramai ingatkan mereka tentang perjuangan lain yang mereka pura-pura tidak endahkan.

Untuk kita penunggang motosikal, kita sendiri mempunyai tanggung jawab untuk menaikkan imej kita. 

Untuk remaja-remaja yang bangga dengan gaya hidup rempit, sekiranya undang-undang untuk pengguna motosikal diperketatkan, antara sebabnya ialah perangai anda.

Berubah agar imej kita lebih baik di mata mereka-mereka yang kaya itu.

Wallahuallam. 

 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, seorang suspek…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Azman Mat Kamis, berkata siasatan awal mendapati ketika…
Berita Domestik
Beliau berkata, penganjur program tersebut turut diminta supaya menitikberatkan pematuhan jalan…