"Kegiatan curi motosikal ini selalunya untuk mendapatkan alat ganti untuk kegunaan sendiri atau dijual semula," katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, curi dalam bangunan merekodkan 146 kes berikutan daerah ini mempunyai banyak pusat membeli-belah.
"Selain itu, kes pecah rumah mencatatkan sebanyak 105 kejadian, samun dan ragut (54), mencederakan (36), serta rogol (14).
"Bagaimanapun polis berjaya mengurangkan kadar indeks jenayah di Petaling Jaya daripada 564 kes tahun lalu kepada 539 iaitu pengurangan sebanyak 4.43 peratus bagi tempoh Januari hingga Mei," katanya.
Fakhrudin berkata, objektif utama pihaknya adalah mengurangkan 'fear of crime' dan pada masa sama meningkatkan keyakinan dalam kalangan masyarakat terhadap polis.
"Kita cuba mengurangkan kadar jenayah dengan cara mengadakan operasi secara berterusan.
"Tahun lalu pengurangan kadar indeks jenayah sebanyak lapan peratus kepada 1,562 kes berbanding 1,712 kes pada 2021," katanya.
Antara kejayaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sepanjang tahun lalu termasuk menahan dua individu aktif mencuri kereta mewah di sini sebelum dijual ke Johor.
Selain itu IPD Petaling Jaya juga berjaya membongkar kegiatan mencuri pakaian berjenama di pusat membeli-belah menggunakan beg khas didalangi warga asing dikenali sebagai Geng V Anti Sensor.
Pihaknya juga menumpaskan Geng Senu TTDI yang bergiat aktif mencuri komponen lori dan kenderaan lama untuk dijual di pasaran gelap dengan tertangkapnya tiga suspek termasuk dalang utama kumpulan terbabit.
- selagi undang-undang dan hukuman yang dijatuhkan hanya denda dan penjara, selagi itulah penjenayah tak takut! -