Kes curi motosikal - Geng KTM tumpas

oleh Mohamad Hanif|
Polis menumpaskan kumpulan yang mendalangi kegiatan mencuri motosikal jenis KTM yang aktif sejak 2013 dengan tertangkapnya lapan suspek termasuk seorang wanita dalam serbuan berasingan di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, Jumaat lalu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata tangkapan itu turut membabitkan dalang utama kumpulan itu yang sedang menjalani hukuman buang daerah ke Port Dickson, Negeri Sembilan dan dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

"Suspek utama dan tujuh lagi rakan sejenayah, berusia antara 29 hingga 42 tahun ditangkap dalam tempoh 24 jam pada Jumaat lalu dengan tangkapan pertama dibuat melalui serbuan yang dijalankan di Putrajaya.

"Susulan tangkapan itu, suspek selebihnya ditahan dalam serbuan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur; Lestari Perdana, Seri Kembangan dan Pasir Panjang, Negeri Sembilan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, siasatan kes dijalankan susulan aduan daripada seorang mangsa selepas motosikal jenis KTM RC390 miliknya hilang ketika diparkir di sebuah pusat beli-belah di Puchong pada 30 Ogos lalu.

"Selain tangkapan, kita juga berjaya menemui semula lapan motosikal curi dianggarkan bernilai RM100,000 di tempat parkir motosikal sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di Bukit Jalil.

"Hasil soal siasat ke atas dalang utama berusia 34 tahun, dia mengakui mendalangi lebih 100 kes curi motosikal jenis KTM sejak 2013 dan kesemua motosikal dicuri itu dileraikan sebelum menjual komponen motosikal berkenaan sebagai alat ganti kepada mereka yang berminat," katanya.

Menurutnya, selain motosikal, polis turut menemui semula tiga basikal jenis MTB yang dipercayai turut dicuri selain komponen-komponen motosikal yang dileraikan serta alat curi motosikal dan pecah cermin kenderaan.

Kumpulan dikenali sebagai Geng KTM ini didapati menjual komponen alat ganti motosikal curi itu secara dalam talian selain berselindung di sebalik perniagaan bengkel kereta milik seorang suspek dengan harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran.

"Selain mencuri motosikal, geng ini turut dikesan mendalangi kegiatan pecah cermin kereta untuk mencuri gajet yang ditinggalkan mangsa di dalam kenderaan.

"Siasatan mendapati mereka terlebih dahulu mengesan gajet yang ditinggalkan menggunakan satu alat khas pada kenderaan yang disasarkan," katanya.

Katanya, semakan mendapati tujuh suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapati kesemua lapan suspek positif dadah.

Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri…
Informasi
  Orang ramai yang menyuarakan kebimbangan mereka menjadi mangsa seterusnya berikutan ketiadaan…
Berita Domestik
  Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihak…