"Bagi tempoh 20 Mei hingga 9 Jun terdapat 37 kes dengan rampasan 17,064 liter," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Ujar beliau, jumlah tangkapan juga menunjukkan peningkatan daripada 10 kepada 17 orang bagi tempoh sama.
"Bagi tempoh sama, jumlah kes yang melibatkan penyelewengan subsidi diesel telah menunjukkan penurunan signifikan," ujarnya.
Jelas Armizan, sebanyak 65 kes membabitkan 520,803 liter rampasan diesel berjaya dilakukan pihaknya bagi tempoh 20 hari sebelum penyasaran, manakala bagi tempoh 20 hari selepas, hanya 14 kes direkodkan dengan 68,457 liter dirampas.
"Perbandingan ini menunjukkan berlakunya penurunan rampasan diesel sebanyak 87 peratus selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
"Jumlah individu yang ditahan bersabit kes diesel juga berkurangan dalam tempoh yang sama daripada 40 orang kepada seorang sahaja," katanya.
Tambah beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperhebat tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan serta bersubsidi terutamanya minyak diesel serta petrol RON95 di seluruh negara.
"KPDN akan terus mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas aktiviti penyelewengan barang kawalan di bawah Ops Tiris 3.0 di seluruh negara dengan kerjasama rapat agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan isu ketirisan dapat diatasi secara menyeluruh dan berkesan," jelas beliau.