Kesesakan luar biasa di ICQS Bukit Kayu Hitam, 9,000 kenderaan masuk Thailand

oleh Penyumbang Rencana|
foto Sinar Harian
suasana di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kembali sesak dengan ribuan pelancong yang memasuki Thailand.

Sempena cuti umum Maal Hijrah yang lebih panjang sehingga Ahad, orang ramai tidak melepaskan peluang melancong ke Thailand pada hujung minggu ini, menyebabkan aliran trafik tinggi sejak awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, kesesakan aliran trafik ke pintu sempadan itu mula berlaku seawal jam 6 pagi Jumaat apabila pintu sempadan dibuka kepada orang ramai.

“Dianggarkan sebanyak 8,000 hingga 9,000 kenderaan ringan menghala masuk ke Thailand sejak awal pagi hingga petang, dengan kebanyakan mereka mengambil kesempatan bercuti ke negara jiran berikutan cuti hujung minggu yang panjang,” katanya.

Menurutnya, walaupun kaunter imigresen dibuka dengan empat lorong bagi mempercepatkan urusan keluar masuk, aliran trafik tetap perlahan, terutamanya di pintu masuk Kompleks Imigresen Danok, Thailand.

Mohd Radzi berkata, kesesakan mula berkurangan menjelang jam 3 petang, namun aliran trafik masih padat sehingga jam 6 petang.

“Disebabkan kesesakan itu, pihak ICQS terpaksa membuka laluan pusingan U antara jam 3.30 petang hingga 5 petang bagi memberi laluan kepada pengguna yang tidak sanggup menunggu terlalu lama untuk berpatah balik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang bercadang untuk bercuti ke Thailand agar merancang perjalanan dengan sebaiknya serta menggunakan laluan alternatif seperti di Padang Besar atau Durian Burung bagi mengelakkan kesesakan teruk pada waktu puncak.

“Pihak polis sentiasa memantau dan menyalurkan maklumat kepada orang ramai bagi memastikan kelancaran aliran trafik di pintu masuk sempadan negara,” katanya.

 

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Bukan itu saja, puluhan kereta yang kebanyakannya jenis Proton Waja dengan nombor pendaftaran…
Berita Domestik
Katanya, kawasan meletak kenderaan yang terhad menyebabkan berlaku kesesakan di sepanjang laluan…
Informasi
Jelas syarikat tersebut, TTA membolehkan pengguna merancang perjalanan mereka, di samping…