Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat itu telah dilaksanakan di lorong motosikal Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) sejak beberapa hari lalu.
"Kesesakan itu terutama membabitkan pengguna kaunter manual yang memerlukan pegawai untuk memeriksa dan mengimbas setiap pasport secara fizikal.
"Semakan manual mengambil masa lebih 30 saat bagi setiap individu, terutama apabila pegawai imigresen perlu mengendalikan lebih daripada satu pasport pada satu masa.
"Terdapat kes individu melalui lorong manual tanpa menunjukkan pasport mereka. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku, dan sebab itulah pemeriksaan yang lebih ketat diperlukan," katanya ditemui selepas sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, pada Khamis.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 26 saat yang dipercayai direkod seorang penghuni pangsapuri yang kurang senang, dengan bunyi hon ribuan motosikal di laluan keluar dan masuk Johor Bahru ke Singapura pada awal pagi.
Video tersebut turut memaparkan kesesakan jalan raya membabitkan penunggang motosikal dianggarkan lebih lima kilometer.
Justeru itu, Mohamad Fazli menyarankan pengguna motosikal agar menggunakan kaunter e-gate menerusi aplikasi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) atau MyBorderPass bagi mengelakkan kesesakan.
Setakat ini, katanya jumlah pengguna MNIISE hanya sekitar 40,000 berbanding Singapura yang telah mencapai 100,000 pengguna.
Pada 14 November lalu, Agensi Kawalan Sempadan dan Perlindungan Malaysia (AKPS) menahan 26 rakyat Malaysia yang didapati keluar negara melalui lorong motosikal BSI pada 16 Oktober tanpa menunjukkan pasport, satu kesalahan di bawah Seksyen 2(2) Akta Pasport 1960.