"Ketidaksempurnaan itu sempurna" motto yang dipegang divisyen restorasi kereta klasik Lamborghini

oleh Mohamad Hanif|
"Imperfection is perfect." Ini adalah kata-kata yang dipegang oleh divisyen restorasi kenderaan klasik Lamborghini, Polo Storico dalam usaha untuk mengekalkan warisan syarikat tersebut.

Menurut bos Polo Storico Paolo Gabrielli ketika ditemubual CAN Luxury menjelaskan, "Kenderaan yang direstorasi perlu mempunyai ketidaksempurnaan, sama seperti ia keluar dari kilang.

"Tugas saya adalah untuk mengembalikan semula kondisi kereta tersebut sama seperti ketika ia mula-mula keluar dari kilang. Jika ada sedikit ketidaksempurnaan wujud, saya tidak kisah. 

"Untuk menghasilkan 100 peratus kereta yang sempurna, amat mudah, akan tetapi kereta yang sempurna tidak tulen. Jika anda melakukan restorasi kereta yang sempurna, cat yang sempurna, anda sebenarnya menghasilkan sebuah produk yang palsu. 
 


Menurut Gabrielli lagi, model-model awal Lamborghini dibina dengan menggunakan tenaga tangan, dan oleh sebab itu tiada dua model yang memiliki persamaan. 

Ini kerana sebagai contoh, panel badan dibina dan dibentuk dengan menggunakan acuan kayu yang memberikan kesan kepada ketidaksempurnaan binaan. 

Untuk mencari sesetengah alat ganti juga merupakan satu cabaran, khususnya kebanyakan pembekal alat ganti tulen sudah pun tutup kedai. 

Penyelesaiannya? Polo Storico akan mencari kenderaan yang masih lagi utuh dan melakukan proses kejuruteraan terbalik terhadap alat yang diperlukan, selain masih lagi merujuk kepada kertas produksi untuk mengenal pasti ketidaksempurnaan yang dihadapi oleh kereta-kereta yang direstorasi. 
 


Malah, kegilaan divisyen ini memegang falsafah ketidaksempurnaan ini boleh dilihat menerusi buku manual original yang dicetak semula tanpa membetulkan sebarang kesalahan tatabahasa dan pengejaan - sama seperti buku asal!

Semenjak ditubuhkan, Polo Storico telah pun merestorasi kira-kira 98 unit Lamborghini klasik, setiap satu mengambil masa kira-kira 18 bulan dengan kos yang mampu mencecah $450,000 (RM1.82 juta) untuk disiapkan.