Ketidaktentuan hala tuju pasaran automotif dunia

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Peningkatan permintaan terhadap kenderaan sememangnya meningkatkan kebergantungan kepada pengeluaran minyak serta pengeluaran karbon. 

Oleh itu, pertukaran kepada teknologi kenderaan serta bahan tenaga alternatif dapat membantu memastikan bekalan tenaga agar sentiasa mencukupi, namun hanya jika pengguna dapat dipujuk untuk menggunakan teknologi ini.

Sungguhpun pengangkutan darat bukanlah penyebab pelepasan gas karbon terbanyak di dunia, perkara ini merupakan isu yang banyak didebatkan. 

Ini berikutan keintiman hubungan manusia dengan kenderaan, terutamanya kereta – bagi kebanyakan orang, kereta menggambarkan kuasa, taraf sosial dan juga sumber keyakinan diri, dan bukan setakat untuk menghantar kita dari satu tempat ke tempat yang lain. 

Namun begitu, kegusaran umat manusia terhadap keberterusan bekalan minyak serta perubahan iklim dunia sedikit sebanyak mempengaruhi pilihan kita dalam menggunakan kenderaan. 
 


Guzay Pasaoglu dalam jurnal Energy Policy membuat simulasi pelepasan gas karbon dioksida, termasuk pelepasan gas-gas berbahaya sewaktu proses penghasilan minyak di pelbagai peringkat daripada telaga minyak sehinggalah ke dalam tangki kereta, serta kos penggunaan tenaga dan kos keseluruhan untuk menggunakan kereta dan van untuk 40 tahun akan datang di Eropah. 

Kajian ini mendapati bahawa penggunaan minyak ataupun tenaga alternatif dapat mengurangkan pencemaran dari sektor pengangkutan sebanyak 35-57% berbanding dengan tahun 2010.

Untuk pengetahuan anda, sektor pengangkuan menyumbang kira-kira 25% daripada pengeluaran gas karbon dioksida di dunia, di mana peratusan ini dijangka akan meningkat kerana sektor ekonomi yang lain sedang berusaha mengurangkan pengeluaran karbon. 
 

sumber

Secara khususnya, kesatuan Eropah berhasrat untuk mengurangkan gas rumah hijau pada tahun 2050 sebanyak 80-95% di bawah tahap pada tahun 1990. 

Untuk sektor pengangkutan sahaja, objektif pengurangan berada di tahap 54-69%. 

Ini bermakna, sektor-sektor yang lain terutamanya sektor janakuasa mesti berusaha keras (hampir 100%) untuk memastikan unjuran 80-95% ini tercapai. 

Namun begitu, sungguhpun banyak pencapaian tentang teknologi terbaru telahpun diperoleh, masih terdapat banyak persoalan yang menimbulkan ketidakpastian tentang kebolehgunaan teknologi-teknologi ini dalam sektor pengangkutan. 


 


Sebagai contoh, apakah penjimatan tenaga serta gas rumah hijau yang sebenar daripada pelbagai jenis kenderaan? 

Polisi apakah yang paling efektif untuk mengadaptasi teknologi-teknologi ini? 

Mungkin yang paling penting, bagaimanakan kita dapat memujuk serta meyakinkan pengguna untuk membelanjakan duit hasil titik peluh mereka ini untuk berubah kepada kenderaan yang berbeza seperti kenderaan elektrik?

Kebanyakan penyelidikan baru-baru ini menyimpulkan bahawa pengurangan pengeluaran gas karbon dioksida dan penjimatan tenaga dapat diteruskan dengan menggantikan kereta sekarang dengan kereta elektrik. 

Sememangnya, sangat banyak data yang menyokong teori ini. 
 


Satu kajian yang penting dalam bidang automotif menyatakan bahawa penambahbaikan teknologi dalam kenderaan biasa (kenderaan yang menggunakan petrol dan diesel) tidak akan dapat memberi kesan yang besar untuk mencapai hasrat 2050. 

Untuk membolehkan hasrat ini tercapai, banyak lagi teknologi perlu diperkenalkan dan digunapakai seperti kenderaan elektrik, kenderaan hibrid, kenderaan fuel-cell, dan digunakan bersama-sama kenderaan biasa yang berteknologi tinggi. 

Dan yang paling penting, data menunjukkan bahawa perubahan sikap pemandu sangatlah mempengaruhi keseluruan kos pemilikan kereta – kos membeli dan kos pengoperasian (kos minyak dan penyelenggaraan).

Apa yang menarik adalah penyelidikan ini juga mendapati bahawa kos keseluruhan pemilikan kenderaan yang berbeza akan menjadi hampir sama pada tahun 2020-2030. 

Ini diulangi semula oleh Pasaoglu dalam kajiannya. 

 


Ini bermakna, pada masa akan datang, pengguna mempunyai pilihan yang luas untuk menggunakan apa saja jenis kenderaan dan sumber kuasa, namun membayar kos keseluruhan yang sama. 

Sebagai contoh, kos keseluruhan kenderaan elektrik akan boleh menyaingi kenderaan biasa dan digunakan dalam bandar-bandar. 

Namun begitu, pada masa kini kita biasanya hanya akan memikirkan kos semasa pembelian kereta. 

Oleh itu kos keseluruhan pemilikan mungkin bukanlah contoh yang terbaik untuk menyakinkan pengguna.

Pasaoglu dan rakan-rakannya membuat simulasi kenderaan dalam setiap negara kesatuan Eropah dengan membuat andaian yang bersesuaian bagi setiap negara seperti permintaan terhadap pengangkutan, kadar penukaran kenderaan lama ke baru, harga minyak, kecekapan kenderaan dan sebagainya. 
 


Memandangkan banyak andaian telah dibuat, hasil kajian ini agak sukar ditafsirkan, sungguhpun penyelidik telah merujuk kepada pakar-pakar sewaktu membuat simulasi ini. 

Oleh itu, kita perlu berfikir sejenak sama ada penyelidikan sebegini bernilai ataupun tidak. Penyelidikan ini telah menunjukkan bahawa terdapat ketidakpastian yang sangat besar dalam pasaran kenderaan pada masa akan datang, walaupun dikalangan pakar-pakar dunia. 

Adaptasi teknologi seperti kenderaan elektrik, adalah bergantung tinggi kepada penerimaan pengguna, dan terdapat banyak keraguan dalam menjayakan pasaran ini. 

Malangnya, kita tidak tahu banyak perkara tentang proses membawa masuk kereta alternatif ini lalu menjadikan simulasi tadi hanyalah sebagai ‘educated guess’. 


 


Ini juga menunjukkan bawah unjuran yang paling optimistik sekalipun, hanya sekadar cukup-cukup sahaja untuk mencapai target 80-95% yang dinyatakan tadi. 

Oleh itu, lebih banyak yang perlu dilakukan dan bukan setakat pertukaran teknologi sahaja. 

Sebaliknya kita sendiri perlu menilai semula perhubungan kita dengan kereta idaman kita.

Rujukan utama

  • A challenging future for cars, David Howey, Nature Climate Change Letters
  • Potential vehicle fleet CO2 reductions and cost implications for various vehicle technology deployment scenarios in Europe, Guzay Pasaoglu, Michel Honselaar and Christian Tiel, Energy policy

Artikel di atas merupakan hasil nukilan Dr. Hasbullah daripada UTM. Hasil penulisan beliau boleh dibaca menerusi laman web NatureAndTechnologies.com