"Beca Melaka merupakan beca yang pertama di negara ini menggunakan aplikasi e-dompet dan saya ucapkan tahniah kepada pengayuh beca yang telah pun beralih kepada pengunaan aplikasi Touch 'n Go," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikan selepas Majlis Bacaan Yasin dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Pengayuh Beca Melaka di Bandar Hilir semalam.
Sulaiman berkata kesemua pengayuh beca berdaftar di negeri ini menerima wang tunai RM200 seorang serta barangan makanan sumbangan kerajaan negeri dalam usaha menjaga kebajikan golongan berkenaan.
Beliau berkata sumbangan itu juga diharap sedikit sebanyak dapat meringan beban golongan tersebut dalam membuat persiapan hari raya kerana mereka turut terjejas akibat pandemik.
Sementara itu, pengayuh beca Amran Hashim, 50, berkata penggunaan e-dompet memberi nilai tambah kepada industri berkenaan selain menjadikan pengayuh beca golongan celik teknologi.
Beliau yang telah 10 tahun mengayuh beca berkata kaedah itu memberi kelebihan dan pilihan kepada pengguna kerana kebanyakan pelancong domestik dan tempatan kini lebih gemar menggunakan pembayaran tanpa tunai.