Menurut anak syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) itu, perkhidmatan sama turut diperluas ke kawasan Taman Summit; KTM Klang - Teluk Gadong; Sri Andalas; Klang Jaya; Bandar Bukit Tinggi dan Bandar Puteri.
"Langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen Prasarana untuk memperkukuh jaringan mobiliti bandar serta meningkatkan akses kepada pengangkutan awam, khususnya kesalinghubungan batuan pertama dan batuan terakhir," katanya.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, berkata peluasan perkhidmatan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk mendekatkan rakyat kepada sistem pengangkutan awam yang diyakini dan inklusif.
"Fasa ini bukan sekadar memperluas liputan perkhidmatan, tetapi membuktikan komitmen kami untuk menyediakan akses yang seimbang kepada pengangkutan awam.
"Kami mahu memastikan setiap warga bandar mendapat penyelesaian mobiliti yang bersesuaian, cekap, dan berpatutan, terutamanya di kawasan yang sebelum ini kurang diliputi oleh rangkaian bas sedia ada," katanya dalam kenyataan sama.
Dalam perkembangan berkaitan, perkhidmatan Rapid KL On-Demand bagi zon Desa Pinggiran Putra - Dataran Gemilang Putrajaya akan digabungkan dengan zon MRT Putrajaya Sentral - PICC dan dinamakan semula sebagai MRT Putrajaya Sentral - PICC dan Desa Pinggiran Putra bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu.
Rapid KL On-Demand menawarkan jaminan tempat duduk dan boleh ditempah setiap hari dari 6 pagi hingga 11.30 malam dengan tambang promosi serendah RM1 setiap perjalanan masih diteruskan sebagai galakan untuk lebih ramai pengguna mencuba perkhidmatan ini.
Tempahan perjalanan boleh dibuat menerusi aplikasi Rapid On-Demand yang boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store.
Maklumat lanjut mengenai zon liputan dan panduan penggunaan boleh didapati di laman web rasmi https://www.myrapid.com.my atau saluran media sosial Rapid KL.