Kia Carnival Baharu CKD: MPV Besar Lebih Garang, Kabin Lebih Mewah, ADAS 2.0 – Harga Dari RM188,888.00

oleh Qalif Latif|
Kia Sales Malaysia (KSM) melancarkan Kia Carnival Baharu sebagai model pertama syarikat sejak penubuhan KSM sebagai Syarikat Jualan Negara (NSC) untuk jenama Kia di Malaysia. Versi terkini MPV flagship ini tampil dengan rupa lebih menyerlah, kabin yang diperbaharui serta teknologi dan kemudahan lebih canggih untuk mengukuhkan kedudukannya dalam segmen MPV besar tempatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Sales Malaysia, Hyung Ho Kim berkata pelancaran ini mencerminkan komitmen jangka panjang Kia terhadap pasaran Malaysia, dengan strategi memberi produk yang paling sesuai untuk pelanggan tempatan melalui gabungan kualiti, ciri relevan dan nilai pemilikan jangka panjang. Pengarah Urusan KSM, Emily Lek pula menyifatkan pelancaran ini sebagai langkah pertama untuk “mengenali semula” Kia di Malaysia, dipacu naratif “Kenapa Pilih Kia?” sebagai permulaan era baharu jenama itu di sini.

Dua varian CKD: 7 atau 11 tempat duduk
Untuk pasaran Malaysia, Kia Carnival Baharu ditawarkan dalam dua varian pemasangan tempatan (CKD): 2.2D 11-tempat duduk dan 2.2D 7-tempat duduk. Pilihan ini memberi fleksibiliti sama ada untuk keluarga besar, atau pengguna eksekutif yang mahukan konfigurasi lebih premium.
Kia Carnival


Kia Carnival

 

Enjin Smartstream 2.2 turbodiesel: 202 PS, 440 Nm, AT 8-kelajuan
Kedua-dua varian menggunakan enjin Smartstream 2.2-liter turbodiesel 4-silinder yang menghasilkan 202 PS pada 3,800 rpm dan 440 Nm antara 1,750 hingga 2,750 rpm. Kuasa disalurkan menerusi transmisi automatik 8-kelajuan dengan pacuan roda depan. Kia turut menyatakan penggunaan bahan api tergabung ialah 6.5 L/100 km (NEDC) untuk keseimbangan prestasi dan kecekapan.

Kia CArnival

 

Kia Carnival
Wakil KIA memaklumkan meneruskan membawa masuk model KIA Carnival menggunakan enjin diesel disebabkan menawarkan penjimatan minyak dan perjalanan lebih jauh 350km berbanding MPV yang sama menggunakan enjin Petrol dan EV

 

Reka bentuk lebih gagah: gril lebar, “Star Map” DRL & lampu belakang
Mengikut falsafah reka bentuk Kia “Opposites United”, Carnival Baharu menampilkan identiti visual yang lebih menonjol. Bahagian depan diperbaharui dengan gril depan lebar, bampar yang lebih kemas untuk garis aerodinamik, serta plat gelincir bagi imej moden yang gagah. Paling mudah cam, ada grafik “Star Map” pada DRL dan lampu depan menegak yang beri rasa lebih high-tech.
Kia Carnival

 

Di belakang, tempat nombor plat kini dialihkan ke bahagian bawah pintu belakang untuk permukaan yang lebih kemas dan menyatu, manakala lampu belakang “Star Map” melengkapkan rupa yang lebih anggun dan progresif.
Kia Carnival

 

Kabin minimalis, rasa premium: skrin panorama melengkung & ambient lighting
Masuk kabin, Kia mengetengahkan konsep minimalis yang lebih kemas. Fokus utama ialah skrin panorama melengkung yang menggabungkan paparan instrumen digital 12.3-inci dan skrin infohiburan 12.3-inci dalam satu panel, menjadikan ruang pemandu nampak lebih mewah dan mesra pengguna.
Kia Carnival

Kia turut menambah ambient lighting di sepanjang papan pemuka, termasuk pada pelapik dalaman dan kemasan pintu, membolehkan suasana kabin disesuaikan mengikut cita rasa. Pada masa sama, panel kawalan infohiburan dan kawalan iklim direka sebaris untuk penampilan yang lebih teratur.
Kia Carnival

 

Susun atur tempat duduk ikut varian: fokus keselesaan & akses
Bagi varian 7 tempat duduk, susun atur ialah 2-2-3 dan dipasang Kerusi Relaxion Premium di baris kedua lengkap fungsi luncur sisi untuk tambah keselesaan. Kerusi baris ketiga pula boleh dilipat rata untuk ruang kargo tambahan.
Kia Carnival

Untuk varian 11 tempat duduk, konfigurasi ialah 2-3-3-3 dengan kerusi tengah boleh dilipat pada baris kedua dan ketiga bagi memudahkan penumpang belakang keluar masuk.

Kia Carnival

Kia Carnival

Kia Carnival

Keselamatan diperkukuh: 8 beg udara & ADAS standard (termasuk HDA 2)
Carnival Baharu menampilkan lapan beg udara, termasuk beg udara sisi tengah yang membantu mengurangkan risiko perlanggaran antara penumpang hadapan ketika hentakan.

Semua varian turut menerima set ciri bantuan pemandu dan keselamatan aktif sebagai standard, termasuk Forward Collision-Avoidance Assist 2.0 (FCA 2.0), Intelligent Speed Limit Assist (ISLA), Highway Driving Assist 2 (HDA 2), Lane Keeping Assist (LKA), Lane Following Assist (LFA), Driver Attention Warning (DAW), High Beam Assist (HBA), Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCTA), dan Rear Occupant Alert (ROA).

Warna, harga Malaysia & waranti
Kia Carnival Baharu ditawarkan dalam empat warna iaitu Meteor Grey, Snowflake White Pearl, Astra Blue dan Jet Black. Model ini dipasang di Kulim, Kedah.

Harga atas jalan di Semenanjung Malaysia (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) adalah seperti berikut:
Kia Carnival 2.2D 11-tempat duduk bermula RM188,888
Kia Carnival 2.2D 7-tempat duduk bermula RM248,888

Setiap unit disertakan waranti 5 tahun atau 150,000 km (yang mana lebih awal) untuk ketenangan fikiran pemilik.


 

Berita Berkenaan

Berita Global
Ciri Baharu dan Peningkatan Dalaman Kia menambah baik pengalaman hiburan belakang dengan paparan…
Berita Global
  Peningkatan Ciri-ciri Standard dan Kemewahan Untuk Carnival 2026, varian Prestige kini…
Berita Global
Kia Carnival 2025   Kia Digital Key 2 dan hendal pintu jenis sentuh di luar yang sebelum ini…