Kia EV6 2022 - varian tunggal GT-Line, 320 hp/605 Nm AWD, jarak gerak 506 km, dari RM300,668

oleh Mohamad Hanif|
Dinamikjaya Motors selaku pengedar tunggal kenderaan berjenama Kia akhirnya secara rasmi melancarkan kereta elektrik (EV) pertamanya, Kia EV6 2022 untuk pasaran tempatan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Model Kia EV6 tersebut telah pun diperlihatkan buat kali pertama bersempena dengan Kejohanan Golf PGM Kia 2022 pada bulan lalu.

Merupakan unit import sepenuhnya dari Korea Selatan, Kia EV6 hanya ditawarkan dalam varian GT-Line AWD Long Range, didatangkan dengan motor elektrik berkembar dengan kuasa gandingan 320 hp dan daya kilas 605 Nm dengan sistem pacuan semua roda secara standard.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 5.2 saat dan mampu mencapai kelajuan tertinggi 185 km/j.
 

Kia


Pek bateri lithium-ion berkapasiti 77.4 kWh pula membenarkan jarak operasi sejauh 506 km untuk sekali cas penuh, selain menyokong pengecasan AC 11 kW (tujuh jam dari 10-100 peratus SoC) dan pengecasan pantas DC 350 kW yang mengambil masa sekitar 18 minit sahaja dari 10-80 peratus SoC.

Sistem gantungan terdiri daripada topang MacPherson di hadapan, Multi-Link di bahagian belakang, dibantu dengan sistem brek cakera berliang di depan dan rotor solid di bahagian belakang.

Dari segi dimensi, Kia EV6 GT-Line ini membawakan ukuran sepanjang 4,695 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,550 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,900 mm.
 

EV6


Terima kasih kepada penggunaan platform E-GMP, Kia EV6 dianugerahkan penarafan lima bintang EURO NCAP dengan skor perlindungan penumpang dewasa 90 peratus dan skor perlindungan penumpang kanak-kanak 86 peratus.

Ruang kargo pula mampu memuatkan barangan sehingga 520 liter, atau sehingga 1,300 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat, sementara kapasiti kargo hadapan pula adalah sebesar 20 liter sahaja.

Secara standard, Kia EV6 GT-Line ini didatangkan dengan unit lampu LED automatik, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, sistem kemasukan tanpa kunci pintar, skrin kluster instrumen 12.3 inci, skrin infotainmen 12.3 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Meridian dengan 14 pembesar suara, serta balutan upholsteri Suede dan Leatherette pada tempat duduk.
 

Kia EV6


Ciri keselamatan pula merangkumi tujuh beg udara SRS, ABS, EBD, Bantuan Brek, ESC, Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki, fungsi Auto Hold, Bantuan Keluar Selamat (SEA), amaran pemakaian tali pinggang keledar, Amaran penumpang belakang (ROA), serta cagak ISOFIX.

Ciri keselamatan termaju pula seperti bantuan suluhan tinggi (HBA), bantuan pengelakan pelanggaran titik buta (BCA), bantuan pengelakan pelanggaran lintasan trafik belakang (RCCA), pemantauan titik buta (BVM), bantuan pengekalan lorong (LKA), amaran tumpuan pemandu (DAW), bantuan pengelakan pelanggaran hadapan (FCA), bantuan mengikut lorong (LFA) serta kawalan jelajah pintar (SCC).

Kia EV6 juga turut didatangkan dengan fungsi pengecasan V2L (vehicle-to-load) dengan kuasa sehingga 3.6 kWh untuk mengoperasikan barangan elektronik.
 

EV6


Terdapat sehingga lima warna ditawarkan iaitu Snow White Pearl, Aurora Black Pearl, Runway Red, Yacht Blue dan Moonscape.

Harga jualan Kia EV6 GT-Line AWD ini bermula dari RM300,668 tidak termasuk insurans dan pendaftaran, dan didatangkan dengan jaminan selama lima tahun atau jarak perbatuan 150,000 km (yang mana tiba dahulu). Sementara janinan bateri pula sehingga tujuh tahun atau perbatuan 150,000 km (yang mana tiba dahulu).

Difahamkan, kumpulan pertama Kia EV6 yang terdiri daripada lima unit sahaja telah pun habis terjual dan serahan pertama akan dibuat pada suku ketiga tahun ini (Q3 2022).

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Panggilan semula produk dilakukan oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan…
Berita Global
Dibina di atas platform E-GMP, ia juga lebih kecil berbanding dengan EV6 yang sudah dijual di…
Berita Global
Dalam video tersebut yang dibintangi oleh bintang sukan terkenal di Australia, termasuk bintang AFL…