Menerusi hantaran di Instagram, Kia mendedahkan teaser SUV konsep yang akan diperkenalkan secara rasmi pada tanggal 11 November ini.
Tiada sebarang perincian didedahkan, namun andaian awal Kia EV9 ini bakal membawakan dimensi yang hampir serupa dengan model SUV terbesar Kia Telluride.
Malah, Kia EV9 disyaki bakal berkongsi platform yang sama dengan Hyundai Ioniq 7 yang telah didedahkan teasernya beberapa hari yang lalu.
Berdasarkan gambar teaser tersebut, Kia EV9 membawakan bentuk SUV berpetak, dengan garis bumbung yang rata yang memberikan bayangan ia bakal menawarkan konfigurasi sehingga tiga baris tempat duduk.
Sekiranya Kia EV9 menggunakan platform yang sama dengan Ioniq 7, besar kemungkinan ia juga turut mendapat varian AWD dengan kuasa sehingga 313 PS dan pek bateri 100 kWh yang mampu menawarkan jarak pemanduan sehingga 483 km.