Kia Pride EV, projek restomod dari 1.3 liter kepada EV, kuasa naik 77.7%, sah atas jalan!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Kia Pride EV
Kia Pride EV
Selari dengan populariti kenderaan elektrik (EV), ada yang berminat untuk menukar enjin lama kepada rangkaian kuasa elektrik.

Penawaran sebegitu sudah pun ada di luar negara dan acap kali diterbitkan di laman web ini.

Ini pula projek di antara Kia UK dan pakar rangkaian kuasa dan penukaran EV iaitu Electrogenic.

Kia Pride yang berkuasa 60 bhp pada 1996 digantikan dengan perkakasan elektrik dan melonjak 77.7 peratus kepada 107 bhp! 
Jaecoo J7 MREC Banner Campaign March 2025
Kia Pride EV

 

Pride EV merupakan projek restomod unik yang dibuat khas bagi meraikan ulang tahun ke-80 Kia.

Model asal adalah sebuah Pride 1.3 LX 1996 yang merupakan koleksi warisan Kia UK. 

Enjin 1,324cc memiliki kuasa 60 bhp pada 5,500 rpm dan 118Nm pada 3,500 rpm.

Dari luar, Pride ini kekal dengan rekaan asal termasuk rim besi 12 inci dan penutup plastik.

 

Kia Pride EV

 

Badan kereta ditanggalkan dan warna Kingfisher Blue ditukar kepada Putih Mutiara seperti EV3, EV6, EV9 dan Niro EV.

Lampu depan dan belakang dinaik taraf supaya mudah untuk melihat dan dilihat.

Bahagian dalaman mengekalkan gaya 90-an dengan balutan fabrik kelabu dan diriasi kun alur dan sulaman alas kaki warna hijau limau seperti dalaman dan angkup brek EV6 GT.

Dari enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada EV, Kia menggunakan terma socket rocket sejati dan menepati tema pengubahsuaian ini.

 

Kia Pride EV

 

Langkah pertama bermula dengan penanggalan enjin, tangki petrol 37 liter, saluran dan lubang pengisian bahan api.

Perkakasan tersbut diganti motor elektrik, dua pek bateri 10 kilowatt-jam (kWj) setiap satu dan soket pengecas di corong pengisian petrol.

Apa yang menarik ialah kotak gear lima kelajuan dan aci pacu dikekalkan untuk keseronokan pemanduan.

Menggunakan motor elektrik, Pride EV memiliki kuasa 107 bhp (80 kW) dari 3,600 sehingga 4,800 rpm dan boleh diligat sehingga 8,000 rpm.

 

Kia Pride EV

 

Di dalam mod paling berkuasa, pemandu dapat menikmati daya kilas 235Nm dari 0 sehingga 2,500 rpm atau lonjakan 99.2 peratus berbanding 118Nm pada 3,500 rpm sebelum ini.

Motor elektrik memacu roda depan melalui kotak gear asal yang diubah suai oleh Electrogenic.

Kotak gear dipasang kit cekam berprestasi bagi menampung daya kilas lebih tinggi dari motor.

Perkakasan mekanikal di antara pedal pendikit dan pecutan diganti dengan sistem drive-by-wire untuk tindak balas lebih spontan.

 

Kia Pride EV

 

Dua pek bateri berkuasa 20 kWj digunakan dan masing-masing dipasang di dalam bonet dan di lantai but yang perlu dinaikkan sedikit. 

Lubang pengisian petrol diganti soket pengecas Type 2 dan bersambung dengan pengecas dalaman 3.3 kW.

Tempoh pengecasan penuh dari 1 sehingga 100 peratus memerlukan sekitar enam jam menggunakan sumber kuasa domestik.

Dipandu secara berhemah dalam mod Eco, Pride EV boleh bergerak sehingga 193 kilometer (km) dan seperti biasa lebih rendah jika ditekan kuat di dalam mod Sport.

 

Kia Pride EV

 

Menggunakan perkakasan elektrik bermakna berat juga bertambah namun tidak ketara iaitu dari 850 kilogram (kg) kepada 870 kg (tanpa pemandu).

Selain itu, peletakan bateri juga meningkatkan kelincahan dan keseimbangan kereta.

Berat 20 kg juga diganti dengan kuasa dan prestasi yang bertambah.

Menjadi EV tidak bermakna segala-galanya menjadi digital. Jarum analog masih lagi kekal dan berfungsi manakala tolok bahan api menunjukkan tahap kuasa bateri.

 

Kia Pride EV

 

Seperti kereta moden lain, Pride EV mempunyai tiga mod pemanduan iaitu Eco, Sport dan Auto.

Mod Eco menghasilkan 60 bhp (45 kW) seperti model asal dan sesuai untuk memaksimumkan jarak. Daya kilas dihadkan kepada 118Nm dan separuh daripada keupayaan asal.

Pemandu boleh menikmati pecutan bertenaga pada kelajuan rendah. Pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) kekal sama dengan enjin asal iaitu 11.8 saat.

Mod Sport pula melonjakkan kuasa dan kaya kilas pada tahap paling tinggi iaitu 107 bhp dan 235Nm.

 

Kia Pride EV

 

Motor elektrik ditetapkan untuk memberikan tindak balas lebih spontan dan pecutan dari 0 sehingga 100 km/j dianggarkan dalam masa lapan saat.

Kedua-dua mod Eco dan Sport mempunyai pembrekan regeneratif yang minimum dan menyamai karakter kotak gear gear manual.

Talaan dibuat supaya nyah pecut tidak ketara apabila pemandu mengangkat kaki dari injak pemecut dan ala pembrekan enjin dalam gear seperti memandu kereta ICE.

Mod Auto pula untuk Pride EV beraksi seperti EV biasa. Cara gunakannya unik iaitu dengan memijak pedal cekam dan memasukkan gear ketiga dan menekan butang mod Auto.

 

Kia Pride EV

 

Kereta beroperasi dalam keadaan lancar dan daya pembrekan regeneratif sedikit tinggi.

Kuasa dan daya kilas ditetapkan pada tahap 75 peratus kuasa motor maksimum atau 80 bhp dan 176Nm.

Kelajuan tertinggi juga direndahkan sedikit susulan beberapa faktor seperti nisbah kotak gear, had rpm dan beberapa lagi. 

Mod Auto sesuai untuk pemanduan di dalam bandar dan kesesakan jalan raya.

 

Kia Pride EV

 

Sama seperti projek pengubahsuaian Electrogenic yang lain, struktur asal kereta dikekalkan dan segala pengubahsuaian boleh dikembalikan kepada asal. 

Satu lagi yang menarik, Kia Pride EV sah digunakan di atas jalan raya.

Penulis: Muhammad Md Tajudin