Kia Rio 2021 facelift: kini hadir dengan enjin lebih bertenaga!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2017, generasi keempat Kia Rio hatchback sememangnya memerlukan sedikit perubahan bagi terus kekal malar segar untuk tahun-tahun mendatang.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Kemaskini pertengahan kitaran yang baharu sahaja dilancarkan oleh Kia baru-baru ini bukan sahaja membawakan perubahan reka bentuk luaran, akan tetapi hadir dengan trenkuasa yang lebih bertenaga.

Dari segi luaran, Kia Rio 2021 tidak membawakan banyak perubahan yang ketara melainkan rekaan gril 'hidung harimau' yang lebih sempit, bumper serta perumah lampu kabus berwajah baharu, serta lampu LED sepenuhnya diintegrasikan dengan lampu nyalaan siang.

 


Selain daripada dua warna baharu yang diperkenalkan (Perennial Grey & Sporty Blue), Kia juga membawakan rekaan rim aloi serba baharu bersaiz 16 inci yang menghiasi keempat-empat ruang arca roda.

Sementara itu, antara perubahan yang paling ketara dibawakan pada ruang kabin adalah skrin infotainmen bersaiz 8 inci yang diikuti dengan skrin digital 4.2 inci yang diapit oleh kluster meter dihadapan pemandu.

Sistem infotainmen itu tadi dilengkapi dengan sambungan standard seperti Bluetooth, Apple CarPlay, Android Auto, serta ciri telematik UVO Connect 'Phase II'.

 


Untuk menceriakan ruang kabin, Kia menawarkan opsyen kustom warna untuk diaplikasikan pada bolster tempat duduk, papan pemuka, serta perehat tangan di pintu yang boleh dipadankan dengan jahitan kontras.

Sementara model GT-Line pula menampilkan warna dalaman tona tunggal dengan jahitan kontras berwarna putih pada tempat duduk, serta kemasan ala gentian karbon pada papan pemuka.

Tidak dilupakan, kesemua varian Kia Rio 2021 kini dilengkapi dengan tempat duduk pemandu boleh laras, serta opsyen tempat duduk penumpang hadapan boleh laras.

 


Buat pertama kalinya, Kia telah membawakan trenkuasa petrol dengan ciri mild-hybrid electric (MHEV) yang digelar sebagai EcoDynamics+, menjadikan Kia Rio model Kia pertama yang membawakan teknologi baharu tersebut.

Trenkuasa ini memadankan enjin 1.0 liter T-GDi tiga silinder sebaris dengan sistem MHEV 48 Voltan yang direka untuk meningkatkan kadar penjimatan bahan api menerusi bantuan tork elektrik dan brek regeneratif.

Enjin Smartstream itu menawarkan talaan kuasa 99 kuasa kuda dan 118 kuasa kuda, manakala unit yang lebih berkuasa (118 kuasa kuda) pula mampu mengekstrak 16 peratus lebih kuasa daya kilas kepada 200 Nm.

Secara keseluruhannya, Kia mendakwa trenkuasa EcoDynamics+ ini mampu menawarkan pengurangan emisi CO2 sehingga 10.7 peratus berdasarkan kitaran data NEDC.

 


Mod pemanduan pula terdiri daripada Eco, Sport dan Normal untuk disesuaikan dengan pemanduan dan keperluan semasa.

Trenkuasa mild-hybrid itu tadi dipadankan dengan transmisi baharu intelligent Manual Transmission (iMT) yang dikawal sepenuhnya oleh elektronik, dan bukannya sambungan mekanikal seperti kebiasaan transmisi manual.

Menurut Kia, dalam membolehkan pemandu menikmati perasaan pemanduan kereta bertransmisi manual, ia juga menyumbang kepada penjimatan bahan api yang lebih baik.

Selain daripada opsyen trenkuasa mild-hybrid, pelanggan juga boleh mendapatkan unit enjin Smartstream konvensional iaitu 1.0 liter T-GDi (99 kuasa kuda) dan 1.2 liter aspirasi natural yang menjana 83 kuasa kuda.

Enjin turbo itu tadi dipadankan dengan transmisi manual sebagai standard, serta opsyen kotak gear klac berkembar tujuh nisbah kelajuan.

 


Ciri keselamatan turut dipertingkatkan dengan ciri Advanced Driving Assitance Systems (ADAS) yang merangkumi bantuan pengelakan pelanggaran hadapan dengan ciri pengesanan pejalan kaki, penungggang basikal dan kenderaan, bantuan pengekalan laluan, amaran tumpuan pemandu serta amaran pelanggaran titik buta.

Ciri tersebut merupakan penambahan kepada sistem sedia ada seperti bantuan pengelakan pelanggaran titik buta, amaran had kelajuan, kawalan pelayaran pintar, amaran lintasan trafik belakang, amaran penumpang belakang dan amaran pergerakan kenderaan hadapan.

Menurut Kia, model facelift Kia Rio 2021 ini akan mula dijual di Eropah bermula suku ketiga tahun ini.

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Setelah diperkenalkan sejak Jun tahun lalu, SUV mewah ini mengimbangkan penambahbaikan terkini…
Berita Global
Model segmen C Skoda ini masih lagi mengekalkan bentuk badan sedan (Limo) dan wagon (Combi) untuk…
Berita Global
Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, Kia Carnival versi facelift itu kini membawakan muka…