Kia Sportage 2022 versi Eropah lebih pendek berbanding Sportage global

oleh Mohamad Hanif|
Meskipun Kia telah pun memperlihatkan secara rasmi SUV Kia Sportage beberapa bulan yang lalu, namun untuk pasaran Eropah Kia menawarkan SUV yang serupa namun dengan dimensi yang lebih kecil.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut Kia, Sportage 2022 versi Eropah ini sememangnya direka untuk para pelanggan di Eropah, termasuklah pakej penggayaan, teknologi serta trenkuasa yang ditawarkan.

Dari segi dimensi, ia membawakan ukuran 4,515 mm, atau 133 mm lebih pendek berbanding Sportage versi global, menjadikan Sportage 2022 ini menyamai saiz yang ditawarkan oleh Tiguan versi pendek (4,509 mm).
 

Sportage


Biarpun dimensi yang sedikit kecil, namun Kia Sportage 2022 masih lagi mengekalkan rupa paras yang sama seperti Sportage global, seperti gril hidung harimau yang lebih moden, lampu nyalaan siang LED berbentuk boomerang serta lampu LED Matrix.

Buat kali pertama dalam penawaran Kia Sportage di Eropah, Kia kini membolehkan pembeli untuk menyesuaikan bumbung hitam, serta pilihan rim bersaiz 17, 18 atau 19 inci dengan enam rekaan yang berbeza termasuk kemasan dan juga warna.
 

Sportage


Disebabkan peraturan emisi Eropah yang tersedia ketat, Kia Sportage hanya ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin.

Versi plug-in hybrid (PHEV) menampilkan enjin 1.6 liter T-GDI, motor elektrik 66.9 kW serta pek bateri 13.8 kWh, di mana secara keseluruhan berupaya menghasilkan 261 hp.

Versi hibrid pula didatangkan dengan gandingan enjin 1.6 liter yang serupa, namun dengan motor elektrik 44.2 kW, serta pek bateri 1.49 kWh, dengan angka output sebanyak 226 hp.

Tidak ketinggalan, Sportage versi mild-hybrid, juga dengan enjin yang serupa namun dengan angka output 147 hp atau 177 hp, sementara versi diesel 1.6 liter pula boleh didapati dalam kuasa 113 hp atau 134 hp.

Sebagai makluman, Kia Sportage 2022 versi diesel turut dilengkapi dengan teknologi kawalan emisi aktif bagi membantu mengurangkan pelepasan NOx serta gas-gas yang berbahaya.
 

Sportage


Pilihan transmisi pula terdiri daripada kotak gear manual enam nisbah kelajuan, atau klac berkembar tujuh nisbah kelajuan, namun kesemua model Eropah didatangkan dengan ciri standard Stop-and-Go, serta pilihan mod pemanduan Comfort, Eco, Sport dan Terrain untuk pemanduan atas salji, lumpur dan pasir.

Aspek pengendalian turut disumbangkan dengan ciri Electronic Controlled Suspension yang mampu mengawal kadar redaman bagi menjadikan pemanduan yang sporti, selesa atau lebih berkeupayaan menawan laluan sukar.

Bahagian papan pemuka Sportage 2022 ini menampilkan skrin melengkung bersaiz 12.3 inci, skrin paparan kluster 12.3 inci dengan grafik yang terang, serta menyokong kemaskini over-the-air dan sistem navigasi pemetaan.
 

Sportage


Meskipun bersaiz lebih kecil, Kia Sportage 2022 menawarkan ruang kargo sebesar 591 liter, sehingga 1,780 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat dengan nisbah 40:20:40.

Penumpang baris kedua juga masih lagi selesa dengan ruang kaki sebesar 996 mm dan juga ruang kepala sebesar 998 mm.

Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah pengelakan pelanggaran hadapan, kawalan jelajah adaptif, serta bantuan kelajuan pintar yang mampu mengubah kelajuan kenderaan secara automatik.
 

Sportage


Kia Sportage 2022 akan mula dijual di UK menjelang awal tahun hadapan.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Kuantiti kenderaan elektrik (EV) buatan China semakin meningkat apabila pembuat kereta dan pengedar…
Berita Global
Tesla mengatakan melalui laman webnya, ia akan meningkatkan harga untuk semua kereta Model Y di…
Berita Global
Selepas Toyota mengumumkan penamatan jualan bagi model GR86 pada hujung tahun ini, tiba giliran…