Kilang Nissan Barcelona tutup cetus kemarahan, pekerja bakar tayar tanda protes

oleh Mohamad Hanif|
Keputusan Nissan untuk menutup kilang Barcelona mencetuskan kemarahan di kalangan para pekerja yang bertindak membakar tayar sebagai tanda protes di hadapan kilang yang telah beroperasi selama empat dekad itu.

Dengan penutupan kilang di Barcelona, diramalkan sekurang-kurangya 23,000 pekerja hilang sumber mata pencarian.

Kilang yang terletak di daerah perindustrian Zona Franca Barcelona itu secara kasarnya memiliki kira-kira 3,000 kekuatan tenaga pekerja dan mampu menjana kira-kira 20,000 peluang pekerjaan secara tidak langsung, menurut kesatuan dalam satu kenyataan.

Dalam pelan penstrukturan semula yang diumumkan baru-baru ini, Nissan diberitakan mahu mengurangkan produksi sebanyak 20 peratus kepada 5.4 juta unit kenderaan setahun.

Ia disusuli dengan penutupan beberapa buah kilang di seluruh dunia termasuklah di Barcelona dan Indonesia.

Kerajaan Sepanyol dalam satu kenyataan menyesali tindakan yang diambil oleh Nissan dan mengarahkan syarikat tersebut mengkaji alternatif yang lebih baik untuk kebajikan para pekerjanya.

Sumber: Bloomberg

Add new comment