Kilang Silverstone tutup - Toyo jadikan Malaysia hab global

oleh Mohamad Hanif|
Toyo Tire Corporation akan menamatkan operasi pengeluaran tayar dari anak syarikat milik penuhnya Silverstone Malaysia Bhd (SSM) pada Jun 2021.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Toyo Tire, Takashi Shimizu, berkata selepas penamatan operasi pengeluaran tayar Silverstone di Kamunting, Taiping, kumpulan seterusnya akan membubarkan SSM.

Beliau berkata, langkah itu diambil selepas mengambil kira persekitaran operasi, kedudukan kilang dalam strategi globalnya serta keupayaan pengeluaran.

"Toyo Tire telah sampai pada kesimpulan bahawa penutupan kilang itu tidak dapat dielakkan.

"Prosedur pembubaran akan dimulakan pada 31 Disember 2021 (dirancang) dan akan mengikuti prosedur yang diperlukan sesuai dengan peraturan dan undang-undang tempatan," katanya dalam satu makluman di laman web Toyo Tire.

Shimizu berkata, SSM mengeluarkan tayar untuk kenderaan baru dan tayar jenama Silverstone untuk penggunaan selepas pasaran, terutamanya untuk pengeluar kenderaan di Malaysia, serta tayar jenama tertentu Toyo Tires tertentu.

 


Beliau berkata, kumpulan turut mengendalikan satu lagi anak syarikat pembuatan di Malaysia, Toyo Tire Malaysia Sdn Bhd (TTM) yang menghasilkan tayar jenama Toyo Tire.

TTM katanya berfungsi sebagai hab global, membekalkan tayar bukan sahaja ke Asia Tenggara, tetapi juga ke pasaran global lain termasuk Amerika Utara, Eropah, dan Jepun.

Pengeluaran produk jenama Silverstone tertentu sebelum ini yang dihasilkan di SSM akan dipindahkan ke TTM.

Pengeluaran dan bekalan akan berterusan.

Mengenai kerugian yang bakal direkodkan kumpulan akibat penutupan itu, Shimizu berkata, Toyo Tire mencatatkan kerugian luar biasa berjumlah 6.27 bilion yen, dalam hasil kewangan yang digabungankan bagi tahun fiskal yang berakhir pada 31 Disember 2020.

"Ia terdiri daripada kerugian penurunan nilai sebanyak 5.11 bilion yen dan kerugian pembubaran anak syarikat dan sekutu sebanyak 1.159 bilion yen," katanya.

Sumber: Berita Harian