Kisah Mercedes 500E Rowan Atkinson - 2 kali beli dan mahu jual semula

oleh Muhammad Md Tajudin|
Di antara Rowan Atkinson dan Mr. Bean, nama mana yang lebih dikenali? Berkemungkinan tinggi nama Mr. Bean jauh lebih terkenal berbanding nama tuan badannya sendiri.

Walaupun karakter Mr. Bean popular di serata dunia, nama Rowan Atkinson CBE juga dikenali di kalangan peminat dunia automotif dek kerana koleksi kereta yang hebat belaka.

Pencetus kepada populariti Rowan Atkinson dalam bidang ini ialah apabila beliau merupakan salah seorang pemilik McLaren F1 yang hanya dikeluarkan sebanyak 100 unit sahaja. Kereta tersebut telah dijual pada tahun 2015.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024
Mercedes 500 E

 

Ini ada sebuah lagi kereta istimewa yang dimiliki oleh Rowan Atkinson iaitu Mercedes 500 E tahun 1991.

Kepada peminat Mr. Bean dan pengumpul kereta, ini ada tawaran istimewa apabila unit tersebut terbuka untuk dimiliki pada acara jualan Classic Car Auctions (CCA) 25 Mei depan di Pusat Pameran Warwickshire.

Unit yang hendak dijual ini mempunyai sejarah menarik apabila dimiliki sebanyak dua kali oleh Rowan.

Aktor terkenal itu membeli Mercedes 500E pada tahun 1991 dan memilikinya selama empat tahun sebelum dijual kepada pemilik kedua.

Individu tersebut memilikinya selama 23 tahun dan kemudian dijual kepada pembeli ketiga. Siapa pemilik baharu tersebut? 

 

Mercedes 500 E

 

Rowan Atkinson. Beliau membeli semula kereta pada Julai 2017 kerana sangat sukakannya dan kini unit tersebut dibuka semula untuk pemilik baharu.

Unit yang hendak dijual menepati definisi super rare kerana hanya sebuah sahaja menggunakan pemanduan kiri daripada 29 unit untuk pasaran United Kingdom.

Selain super rare, ia juga model sleeper, dikuasakan oleh enjin 5.0L V8 dengan keupayaan memecut daripada 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat dan kelajuan maksimum 259 km/j.

Ia juga kerap dipaparkan di dalam majalah Car Magazine dan turut mempunyai rekod sejarah yang lengkap dan mempunyai MOT (pemeriksaan kenderaan di UK) sehingga tahun 2020.

Ada yang berani bida kereta ini untuk dibawa pulang ke Malaysia? Ini kereta 3S, selebriti, super rare dan sleeper!.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Mercedes 500 E