KKR berjaya siapkan projek, infrastruktur berimpak tinggi

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) berjaya menyiap serta meneruskan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia dilaksanakan sepanjang tahun ini termasuk pembinaan dan naik taraf jalan persekutuan, penyelenggaraan serta pembaikan jambatan, dan peningkatan fasiliti awam di seluruh negara bagi meningkatkan keselamatan, aksesibiliti dan kesejahteraan masyarakat.

"Kementerian ini juga meneruskan pelaksanaan projek-projek strategik berskala besar seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Sabah-Sarawak Link Road dan Lebuhraya Trans Borneo, di samping projek penyuraian trafik dan naik taraf jalan utama di Semenanjung Malaysia.

"Projek ini memperkukuh jaringan perhubungan, meningkatkan mobiliti rakyat serta membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat dan pemain industri tempatan," katanya ketika berucap pada Malam Media Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Anugerah Media Pembinaan CIDB 2025 (AMP 2025) pada malam Rabu.

Alexander berkata, dalam aspek keselamatan dan pembangunan tenaga kerja pembinaan, CIDB Malaysia memperkenalkan Kad Hijau CIDB versi baharu bagi personel tapak binaan.

Katanya, inisiatif ini bertujuan memastikan hanya tenaga kerja yang berdaftar, terlatih dan mematuhi standard keselamatan dibenarkan bekerja di tapak binaan.

"Ia sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan profesionalisme industri pembinaan negara," katanya.

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Setakat ini belum ada insentif pelupusan motosikal lama ini, saya baharu menerima surat daripada…
Berita Domestik
Katanya, beliau sendiri telah turun padang ke lokasi terlibat bagi meninjau keadaan sebenar dan…
Berita Domestik
"Keupayaan ini akan terus dipertingkat menerusi pelancaran MyJalan 2.0 yang menyediakan integrasi…