Menurutnya, KKR melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa prihatin terhadap keselamatan pengguna lebuh raya dan telah mengarahkan syarikat konsesi untuk membuat rondaan secara lebih kerap.
"Ia bagi memastikan tiada objek atau halangan yang terdapat di atas lebuh raya termasuk serpihan tayar lori demi keselamatan penggunaan lebuh raya.
"Rondaan rutin oleh Pasukan Ronda dilaksanakan mengikut pusingan yang ditetapkan. Pemantauan lebuh raya juga dilakukan melalui CCTV (kamera litar tertutup) yang terdapat di beberapa lokasi tertentu dan diselia oleh pusat kawalan trafik konsesi yang beroperasi 24 jam sehari.
"Sekiranya terdapat objek atau serpihan tayar yang menghalang lalu lintas, operator di pusat kawalan trafik konsesi akan memaklumkan kepada pasukan peronda lebuh raya untuk melaksanakan kerja pembersihan dengan segera," katanya di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berkaitan langkah dilakukan pengendali lebuh raya untuk memastikan keselamatan pengguna daripada risiko kemalangan yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa, kerosakan kenderaan dan kecederaan pengguna disebabkan objek seperti serpihan tayar lori di atas jalan raya.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, pengguna lebuh raya juga boleh menuntut ganti rugi sekiranya kemalangan yang dialami mereka disebabkan oleh syarikat konsesi.
"Pengguna mesti membuktikan kesalahan itu dilakukan oleh pihak konsesi itu sendiri (kerana) tidak mengambil tindakan dengan segera disebabkan (berlaku) kemalangan tersebut.
"Banyak kes (pihak) konsesi membuat bayaran disebabkan kecuaian mereka seperti lopak, lubang dan sebagainya," katanya.
- cerita tayar celup ini bukan cerita baru, sejak azali semua pengguna jalan raya sedia maklum, persoalannya bila cerita ini akan habis dan diambil tindakan sewajarnya? -