Kontrak tidak diperbaharui, Ramdan Rosli 'gantung' topi keledar

oleh SALINA JALIL|
Pelumba dua roda tanah air, Ramdan Rosli terpaksa menerima hakikat untuk 'menggantung topi keledar' buat seketika.


Biarpun sukar, pelumba yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-26 tahun semalam berkata, keputusan itu tentunya amat perit untuk ditelan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Namun, dia yang berlumba bersama ONEXOX TKKR SAG Team sebelum ini tetap membuka ruang sekiranya ada pasukan memanggilnya beraksi di peringkat domestik mahupun antarabangsa dalam masa terdekat ini.

 

"Pandemik jelas memberikan kesan termasuk pasukan. Kalau pasukan itu, ia lebih kepada kontrak. Pasukan membuat keputusan pada saat akhir dan itu seumpama saya perlu membuat keputusan mengundur diri buat seketika (daripada arena perlumbaan).

 

"Kebiasaannya perancangan untuk mana-mana perlumbaan, pasukan akan mula merancang pada November ataupun Disember. Namun apabila ditanya pada bulan itu, mereka tidak ada jawapan lagi mengenainya.

 

"Apapun, saya menghormati keputusan dibuat dan berharap akan ada lagi tawaran untuk saya meneruskan karier dalam arena perlumbaan," kata Ramdan yang mengetahui keputusan itu pada Jumaat lalu.

 

Untuk rekod, ketika menyertai Kejuaraan CEV Moto2 Eropah pada 2019, Ramdan pernah meraih penamat tempat ketiga di Litar Estoril - pencapaian terbaiknya ketika mewakili pasukan ONEXOX TKKR SAG Team.

 

Pelumba dari Klang, Selangor itu juga pernah menyertai Kejuaraan Motosikal Dunia atas tiket wildcard dalam kelas Moto3 pada 2014 dan empat penampilan dalam kelas Moto2 pada 2015 dan 2016.

 

Pencapaian terbaiknya adalah meraih penamat di tempat ke-12 di Grand Prix (GP) Malaysia pada 2016.

 

 

 

Berita Harian