KONVOI MERDEKA MESTI DAPAT KEBENARAN PIHAK BERKUASA

oleh Hamimah Hamid|
gambar hiasa konvoi kemerdekaan
gambar hiasa konvoi kemerdekaan
SEMUA aktiviti konvoi sempena sambutan Hari Merdeka di Perak mesti terlebih dahulu mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, Khairul Ridzuan Mat Said berkata, arahan itu turut terpakai kepada jabatan kerajaan bagi memastikan aktiviti yang dilaksanakan mematuhi protokol keselamatan ditetapkan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

“Apabila nak buat satu majlis, pastikan majlis itu dalam keadaan terkawal iaitu mesti ada melibatkan pihak polis dan MKN. Kawalan itu penting kerana konvoi mesti kena dapat kebenaran daripada pihak berwajib supaya diketahui pergerakan tersebut.

“Pesan saya dalam Bulan Kemerdekaan supaya lebih berhati-hati dengan mengambil inisiatif sendiri untuk pastikan penjarakan fizikal, pakai pelitup muka dan sanitasi,” ujarnya.

Menurut Khairul Ridzuan, sebarang aktiviti yang dilakukan tanpa kebenaran akan menjadi satu kesalahan memandangkan negara masih berdepan bencana Covid-19.

khairul rizdwan tengah, sedang menempek jalur gemilang ke kereta wartawan

 

Ujar beliau, semua permohonan aktiviti konvoi merdeka akan diperiksa dan disetujui dengan sewajarnya.

Katanya, kelulusan hanya akan diberikan berdasarkan kes-kes tertentu sekiranya melibatkan jabatan kerajaan selain individu terlibat perlu lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Ujar Khairul Ridzuan, dengan pertambahan kes baru Covid-19 di Perak yang agak tinggi antara 800 dan 1,000 sehari, pihaknya akan lebih  berhati-hati membuat sebarang keputusan.

Katanya, tindakan tersebut bukan untuk menyekat program-program bersifat kenegaraan tetapi ia dilaksanakan bagi memastikan komuniti selamat dalam tempoh pandemik.

Beliau berkata demikian selepas Sambutan Hari Kebangsaan Bersama Media Perak di Kompleks Sultan Nazrin Muizzudin Shah di Ipoh hari ini.

Seramai 40 petugas media daripada pelbagai agensi mengambil bahagian dalam sambutan tersebut yang dirasmikan Pengarah Penerangan Perak, Mohd Taib Ubah.

mohd taib ubah kiri menunjukkan jalur gemilang dikenderaan wartawan

 

Menurut Mohd Taib, media memainkan peranan penting bagi membantu menyemarakkan  semangat patriotik di kalangan rakyat.

Menurutnya, sebagai rakan strategik Jabatan Penerangan, pihaknya akan terus menjalin kerjasama baik dengan media.

“Peranan media dalam menyebarkan hari kebangsaan dan semangat patriotis memang jelas seperti mana dapat kita lihat di media-media cetak dan media-media elektronik.

“Kita nampak lah kalau sekiranya media tak berperanan maka tidak nampak lah hari-hari kebangsaan tu lebih meriah,” katanya.