KPDN - Awas, minyak pelincir tiruan! Sindiket minyak pelincir enjin kitar semula tumpas

oleh Penyumbang Rencana|
foto NSTP
Menggunakan minyak pelincir terpakai sebelum disyaki diproses dengan formula sendiri termasuk penggunaan pewarna sebelum diedar kepada pasaran tempatan.

Ini modus operandi sindiket yang dikesan menjalankan aktiviti dipercayai terbabit pembekalan dan pemprosesan minyak pelincir enjin kenderaan disyaki tiruan di enam premis sekitar kawasan Ampang pada Rabu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, enam premis itu dipercayai rangkaian sindiket yang sama dan aktif beroperasi sejak enam bulan lalu di kawasan berhampiran antara satu sama lain.

Menurutnya, hasil serbuan merampas pelbagai minyak pelincir enjin pelbagai jenama dan beberapa mesin membabitkan rampasan bernilai RM1 juta sekali gus menahan 42 individu terdiri daripada 14 warga tempatan dan 28 warga asing berusia lingkungan bawah 45 tahun.

"Premis pertama berperanan sebagai lokasi membuat botol, premis kedua (mengilang atau memasukkan minyak dalam botol), premis ketiga sebagai stor penyimpanan dan premis keempat (stor yang menyimpan 'end product' (produk siap).

"Bagi premis kelima, ia berperanan sebagai stor simpanan produk alat ganti kenderaan contohnya 'spark plug' (palam pencucuh) dan premis keenam pula sebagai pejabat pengurusan," katanya pada sidang media di lokasi di Ampang pada Rabu.

Serbuan berkenaan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Selangor dengan kerjasama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis (IPK) Selangor serta wakil cap dagang hasil risikan selama dua bulan yang dijalankan oleh pihak KPDN.

Mohd Zuhairi berkata, premis berkenaan disyaki menggunakan minyak pelincir terpakai yang disuling semula sebelum dicampur minyak pelincir asas dan pewarna tiruan sebelum pembungkusan.

Katanya, pihak berkenaan dipercayai meletakkan pelekat atau nombor siri pada botol minyak itu bagi menyakinkan pembeli atau pengguna minyak berkenaan seolah-olah baharu dan tulen.

Menurutnya, barangan itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut masih bagi mengenal pasti sasaran pelanggan jualan minyak pelincir enjin berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019," katanya.

Bernama