KPDN gesa syarikat kenderaan pengangkutan barangan mohon segera kad fleet

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggesa syarikat kenderaan pengangkutan barangan di Semenanjung Malaysia yang terpilih untuk segera memohon kad 'fleet' bagi memastikan mereka dapat menikmati subsidi yang disediakan apabila kerajaan melaksanakan subsidi diesel bersasar kelak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pelaksanaan pemberian diesel bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Diese l Bersubsidi (SKDS) 2.0 melibatkan sembilan jenis kenderaan sektor pengangkutan darat (barangan) iaitu lori kargo am, lori minuman botol, lori sejuk beku, lori luton, lori tangki tepung, lori tangki air, van panel, van tingkap dan penggerak utama (prime mover).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Beliau berkata syarikat yang terlibat diharap dapat membuat permohonan selewat-lewatnya 30 April ini.

"Tarikh 30 April bukan tarikh tutup, tiada tarikh tutup selagi belum diumumkan tarikh pelaksanaan (penyasaran subsidi diesel). Namun untuk memastikan supaya kenderaan jenis barangan ini sudah bersedia, kita gesa untuk sama-sama mempromosikan dan memohon selewat-lewatnya 30 April.

"Ia untuk memastikan bila sahaja kerajaan mengumumkan tarikh pelaksanaan itu nanti, sekurang-kurangnya untuk sembilan jenis pengangkutan barangan itu, mereka sudah mempunyai kad fleet," katanya kepada media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Bersama Industri Pengangkutan dan Syarikat Pembekal Minyak pada Selasa.

Armizan berkata sesi libat urus itu dibuat bagi mendapatkan kerjasama daripada ahli-ahli persatuan pengangkutan darat untuk menyegerakan permohonan kad fleet kepada syarikat-syarikat minyak terpilih.

"Persatuan-persatuan yang terkait dengan sektor pengangkutan darat (barangan) yang hadir hari ini (Selasa) telah memberi komitmen untuk membuat hebahan bagi membantu kita mempromosi, memberi penerangan dan menggalakkan ahli-ahli persatuan mereka supaya memohon melalui sistem MySubsidi Diesel dan setelah mendapat kelulusan terus membuat permohonan kad fleet kepada syarikat pembekal minyak secara serta-merta.

"Menerusi perbincangan tadi, kita telah bersetuju untuk mempertimbangkan rayuan, kalau sebelum ini syarika pengangkutan barangan dihadkan mempunyai opsyen dua syarikat pembekal minyak sahaja, kita telah putuskan akan beri opsyen tambahan iaitu boleh memilih tiga daripada lima syarikat pembekal minyak," katanya.

Syarikat pembekal minyak yang terlibat ialah Petronas, Shell, Petron, Caltex dan BHP.

Dalam pada itu, Armizan berkata ada syarikat yang sudah berdaftar dengan Sistem MySubsidi Diesel dan diberi kelulusan, namun tidak membuat permohonan kad fleet dengan syarikat pembekal minyak.

"Mereka sudah dapat kelulusan tetapi tidak memohon kad fleet pula, mereka tunggu berapa kuota yang akan dapat dan pengumuman tarikh pelaksanaan.

"Kita juga telah mengarahkan syarikat pembekal minyak supaya bersedia dan tambah tempahan kad fleet mereka sebab atas keperihatinan kerajaan, pihak yang akan mendapat manfaat ini akan melebihi daripada anggaran awal kita," katanya.

Sementara itu, Armizan berkata langkah kerajaan melaksanakan SKDS 2.0 antaranya bertujuan untuk meminimumkan isu ketirisan dan penyeludupan yang berleluasa.

Beliau mendedahkan ada syarikat dan stesen minyak yang diugut sindiket tertentu untuk menjual diesel kepada mereka melebihi kuota yang ditetapkan.

"Ada juga beberapa stesen minyak memilih untuk tidak membuat laporan kerana bimbangkan keselamatan diri, pekerja dan premis mereka.

"Jadi kita tidak boleh membiarkan perkara ini terus berlaku dan mengurus risiko tersebut dengan tidak memberikan subsidi secara pukal di stesen minyak selain penguatkuasaan fizikal," katanya.

 

Bernama