KPDN P.Pinang rampas 22,840 liter diesel bersubsidi cuba diseleweng

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan merampas sebuah tangki berisi 22,840 liter bahan api itu yang dianggar bernilai RM50,000 dalam serbuan, pada Selasa.


Ketua Pegawai Penguat Kuasa negeri, A. Mogan berkata Ops Tapis pada 4 petang itu menyerbu kawasan stor tidak berlesen di Permatang Pauh, Bukit Mertajam dan membongkar kegiatan berkenaan yang didapati beroperasi sejak sebulan lepas.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

"Bertindak hasil risikan dan maklumat sejak seminggu lepas, KPDN Pulau Pinang mengesan pergerakan sebuah kepala lori yang mengisi diesel bersubsidi di beberapa stesen minyak di sekitar kawasan negeri ini sebelum membawa bahan api ke kawasan stor tersebut.

 

"Pasukan penguat kuasa yang mengekori lori itu mendapati pemandunya telah memindahkan sejumlah diesel dari tangki lori tersebut ke sebuah tangki yang berisi lebih 21,000 liter bahan api tersebut di situ (stor). Terdapat dua tangki di situ namun satu lagi kosong," katanya pada Rabu.

 

Beliau berkata pihaknya menahan pemandu lori berusia 30-an itu dan hasil siasatan, dia mendakwa melakukan empat hingga enam perjalanan setiap hari untuk membeli diesel bersubsidi yang mampu mengumpul hingga 6,000 liter bahan api tersebut ke dalam tangki di kawasan stor itu.

 

Mogan berkata sindiket itu akan mengumpul diesel bersubsidi selama tiga hingga empat hari sehingga tangki di kawasan stor berkenaan penuh sebelum membawa keluar bahan api itu dari situ bagi dijual kepada pembeli sekali gus mengaut keuntungan 30 sen bagi setiap liter atau RM6,000 hingga RM7,000 untuk setiap tangki yang berjaya dijual.

 

Beliau berkata stor yang terletak di lokasi dikelilingi sawah dan jauh dari jalan utama itu disewa pada kadar RM3,000 sebulan malah stor itu juga ditutup rapi termasuk pintu utamanya hanya boleh dimasuki dengan menggunakan alat kawalan jauh dikawal sindiket berkenaan.

 

"Semasa menjalankan risikan, pasukan penguat kuasa turut menggunakan dron untuk melihat dalam kawasan stor kerana terdapat pergerakan mencurigakan sebelum bertindak mengekori kepala lori tersebut. Menurut pemandu lori itu, bagi setiap perjalanan dia mampu mengisi tangki (kepala lori) yang telah diubah suai hingga 1,000 liter diesel bersubsidi.

 

"Modus operandi sindiket ini sangat licik kerana menjadikan kawasan stor yang dikelilingi sawah dan dipercayai sebelum ini merupakan tempat menyimpan baja bagi mengelak dikesan pihak berkuasa malah sindiket itu dipercayai mampu mengaut keuntungan sehingga lebih RM30,000," katanya.

 

Menurut Mogan, pihaknya menyita diesel bersubsidi, kepala lori, tangki, motor pam dan satu telefon bimbit yang kesemuanya dianggar bernilai RM95,406 untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, serbuan dibuat bersama wakil pemilik cap dagang berdasarkan aduan yang diterima. "…
Berita Domestik
Serbuan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang…
Berita Domestik
Menurutnya, dalam tempoh sama, nilai rampasan yang melibatkan lain-lain peralatan, kenderaan dan…