Sebuah syarikat pembekal di Kawasan Perindustrian Selatan, Senai dikesan cuba menjual 4,524 botol minyak pelincir tiruan bernilai RM45,692.20 ke pasaran terbuka dengan harga lebih murah berbanding produk asal.
Usaha syarikat terbabit bagaimanapun tidak kesampaian apabila dipatahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Johor dalam satu operasi pada pukul 11 pagi semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri Johor, Zubir Hamsa berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan dan intipan selama seminggu selepas menerima laporan daripada pemilik cap dagang barangan terbabit.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 377 kotak mengandungi 4,524 botol minyak pelincir 1 liter bernilai RM45,692.20 yang disyaki tiruan," katanya pada sidang akhbar di Stor Eksibit KPDNHEP negeri Johor, Senai di sini hari ini.
Zubir berkata, minyak pelincir itu dipercayai dijual dengan harga lebih rendah kira-kira RM10 sebotol daripada produk asli yang dijual di pasaran.
Jelasnya, hasil keterangan yang diambil juga mendapati produk terbabit masih belum diedarkan kepada peruncit di pasaran.
"Botol serta label minyak pelincir tiruan ini sama seperti cap dagangan produk asal dan pihak kita bersama-sama pemilik sahaja mengetahui perbezaannya," katanya.
Zubir menambah, kesemua barangan tersebut disita di bawah Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 untuk siasatan lanjut. - K! ONLINE