Diasaskan dari KTM 1290 Super Duke R EVO, KTM 1300 R Edition 2023 merupakan naik taraf dari versi pertama yang turut ditala oleh Brabus pada tahun lepas.
KTM 1300 R Edition 2023 dikuasakan oleh enjin V-twin 1,301 cc yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 177 HP pada 8,000 rpm.
Motosikal itu akan ditawarkan dengan dua pilihan warna istimewa iaitu Superblack dan Stealth Gray, dan turut menampilkan beberapa komponen yang diperbuat dari gentian karbon.
Pada bahagian pelana, ia dibalut semula dengan corak jahitan "Crest" Brabus, dan pada bahagian sisi ia menampilkan pemijak kaki kustom serta ekzos dual paip.
Ianya menampilkan jalur tandatangan Brabus pada liang udara diperbuat dari gentian karbon yang direka bentuk semula untuk memberikannya rupa unik.
Seperti yang dilakukan oleh Brabus pada kereta, KTM 1300 R Edition 2023 didatangkan dengan roda forged Monoblock Z yang menampilkan warna Platinum Black, dimana roda tersebut lebih ringan dan kuat berbanding roda standard.
Bagi meningkatkan lagi tahap tunggangan motosikal itu, ia dilengkapi dengan sistem teknologi suspensi separa-aktif WP APEX, dimana ia mempunyai 5 tetapan iaitu Comfort, Street, Sport, Track, dan Advanced.
Terhad kepada 290 unit, ianya akan hanya ditawarkan untuk pasaran terpilih bersama 145 unit setiap warna, harga bagi motosikal talaan Brabus itu akan bermula dari USD45,500 (RM200,298).