Penutupan sementara landasan kereta api sepanjang 40 kilometer itu dijangka selama enam bulan, telah diarahkan oleh pengawal selia Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kerana landasan semakin merosot.
Menurut kenyataan KTMB, pembangunan bandar di sepanjang laluan kereta api telah memburukkan lagi isu perparitan dan meningkatkan tekanan ke kawasan sekitar.
Selain memerlukan pembaikan besar untuk menampung permintaan yang semakin tinggi daripada kereta api barangan yang lebih berat dan laju, kerja-kerja pemulihan juga akan tertumpu kepada menempatkan semula setinggan yang menceroboh kawasan simpanan kereta api dan meningkatkan sistem saliran air untuk mencegah banjir yang disebabkan oleh pembangunan bandar.
Projek yang bermula 2016 menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) itu menghadapi kelewatan yang tidak dapat dielakkan.
KTM Kargo akan meneruskan operasi dengan menggunakan landasan Pemindahan Antara Terminal (TTT) antara Port Tanjung Pelepas (PTP), Pasir Gudang dan Port Klang, beroperasi dalam pergerakan terhad iaitu empat kali sehari walaupun permintaan perkhidmatan kargo adalah lebih tinggi.
Kontraktor yang dilantik oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama APAD, KTMB dan Railway Asset Corporation (RAC) akan menyelia projek itu.
Bacaan selanjutnya di Bernama