KTMB tawar 4.4 juta tiket bagi tempoh Julai hingga Disember 2023

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Jualan tiket perkhidmatan tren elektrik ETS dan KTM Intercity bagi perjalanan bermula 1 Julai hingga 31 Dis 2023 akan dibuka mulai Isnin (15 Mei) jam 10 pagi.


Menurut Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan hari ini, 1.8 juta tiket bagi perkhidmatan ETS dan 2.6 juta tiket KTM Intercity ditawarkan bagi tempoh tersebut.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024

 

Selain itu, KTMB turut menawarkan dua perkhidmatan ETS tambahan bagi laluan KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya, bagi perjalanan bermula 26 Mei hingga 5 Jun ini, sempena cuti sekolah dan cuti umum.

Sebanyak 6,930 tiket ditawarkan sepanjang tempoh yang dinyatakan, tambahnya.

Jualan tiket tren tambahan ini juga akan dibuka mulai Isnin.

Berdasarkan jadual waktu perjalanan sedia ada, ETS menyediakan 32 perkhidmatan setiap hari sementara KTM Intercity, 53 perkhidmatan sehari.

“Jualan tiket ini dibuka untuk tempoh enam bulan yang akan datang bagi membolehkan orang ramai membuat perancangan awal terutamanya untuk menyambut Hari Raya Aidiladha, Deepavali, Hari Natal mahupun merancang untuk pulang ke kampung semasa musim cuti sekolah atau bercuti di dalam negara,” kata KTMB.

KTMB juga akan memperkenalkan tambang promosi maksimum RM10 bagi laluan antara Stesen Sungai Petani ke Stesen Padang Besar dengan menggunakan kod promosi ETSBERBALOI bagi tren ETS Platinum (KL Sentral – Padang Besar) iaitu EP9272, EP9274, EP9276, EP9278 dan ETSBERBALOIGOLD untuk tren ETS Gold (Gemas – Padang Besar) iaitu EG9420.

Bagi laluan Gemas – KL Sentral – Gemas pula, sebanyak 50% diskaun perjalanan ditawarkan dengan menggunakan kod promosi JIMATGEMAS.

Ia melibatkan tren ETS EG9321, EG9322, EG9420, dan EG9425.

Tambang promosi bagi tempoh mulai 15 Mei hingga 31 Dis ini hanya boleh diperolehi dalam masa 24 jam sebelum tren berlepas melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), kaunter tiket, kiosk atau menerusi laman sesawang KTMB.

KTMB berkata, promosi yang ditawarkan dapat memberikan pilihan kepada pengguna untuk menggunakan perkhidmatan kereta api, di samping menjimatkan kos seharian mereka.

Orang ramai juga dinasihat agar mendapatkan tiket lebih awal bagi menikmati kadar tambang yang lebih rendah dan jimat.

Pengguna disaran membuat pembelian tiket melalui aplikasi KITS yang boleh dimuat turun melalui Play Store, Appstore dan App Gallery atau menerusi laman sesawang KTMB.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang rasmi www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200.

 

 

Astro Awani

Berita Berkenaan

Informasi
KTMB dalam satu kenyataan, berkata perkhidmatan tren tambahan itu akan beroperasi selama lima hari…
Informasi
Penutupan sementara landasan kereta api sepanjang 40 kilometer itu dijangka selama enam bulan,…
Informasi
"Kami sedang merangka denda yang sewajarnya untuk lelaki yang tidak dengar (degil) ini," katanya…