Kunci digital berasaskan peranti pintar dari Hyundai

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Hyundai Motor Group telah membawakan sebuah lagi inovasi baharu kepada umum dengan pengenalan Digital Key atau kunci digital yang menggunakan asas daripada peranti pintar. 

Dengan kunci digital ini, pemandu boleh mengunci dan membuka kenderaan mereka menggunakan aplikasi mudah alih dan teknologi Near Field Communication (NFC). 

Antena NFC yang digunakan untuk mengesan peranti pintar pemilik diletakkan di bahagian pemegang pintu hadapan untuk akses masuk, manakala sebuah lagi ditempatkan di pad pengecasan nirwayar - untuk fungsi menghidupkan enjin.

Menerusi aplikasi ini, Hyundai membenarkan sehingga empat orang pemilik peranti pintar menggunakan kereta pada satu-satu masa, dan pengguna juga boleh menyimpan tetapan kegemaran mereka dengan mudah. 

Ini termasuklah tetapan posisi cermin sisi, tempat duduk, ketinggian stereng, sistem audio dan navigasi serta paparan head-up display (HUD). 
 


Sekiranya pemilik membenarkan aplikasi perkongsian kenderaan, kunci digital tersebut boleh dihantar secara maya kepada penyewa menerusi aplikasi dengan sekatan-sekatan tertentu terhadap fungsi kenderaan yang ditetapkan dari awal. 

Pada masa akan datang, pemilik juga boleh mengarahkan kenderaan untuk mencari tempat parkir sendiri sekiranya teknologi swapandu sudah terdapat pada kenderaan-kenderaan Hyundai - semuanya menerusi aplikasi mudah alih. 

Jika terdapat keadaan yang menyukarkan pemilik untuk memberikan kunci digital seperti menggunakan servis valet atau menziarahi bengkel, sebuah kunci pintar konvensional dan kunci jenis kad akan turut dibekalkan. 

Hyundai Motor Group mensasarkan untuk melaksanakan teknologi kunci digital ini pada kereta produksi baharu bermula tahun ini. 

Menurut Ho Yoo, Ketua Kumpulan Pembangunan Elektronik Hyundai Motor Group berkata, "kunci digital ini akan memberikan manfaat kepada kumpulan pemilik yang lebih besar pada masa akan datang, dan dalam masa yang sama menjadikan industri perkongsian kenderaan lebih menarik perhatian."

Berita Berkenaan

Berita Global
Berita baik, para pemilik kereta BMW kini boleh mengaktifkan ciri Digital Key Plus dengan…
Berita Global
Samsung telah bekerjasama dengan Google untuk menambahbaik pengalaman penggunaan sambungan Android…
Berita Global
Ia membolehkan para pemilik peranti seperti Apple iPhone dan Apple Watch mengunci dan menyahkunci…