KZ2300 - apabila sebuah Kawasaki KZ1300 bernadikan V12

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sebagai seorang jurutera nuklear, Allen Millyard benar-benar merupakan definisi saintis gila di dalam arena kenderaan beroda dua. 

Masakan tidak, beliau sebelum ini gemar bereksperimentasi dengan pelbagai jenis motosikal, daripada enjin silinder tunggal menjadi V-twin, enjin tiga silinder kepada lima atau V6 dan inline-four menjadi enjin V8!

Kadar kegilaan beliau terhadap ekstra silinder tidak terhenti setakat itu, ini kerana antara motosikal paling menarik pernah beliau hasilkan ialah sebuah KZ1300 bernadikan enjin V12. 
 

motosikal asal, Kawasaki KZ1300. sumber Wikipedia.

Ya, Kawasaki KZ1300 asalnya menggunakan enjin enam silinder sebaris bersesaran 1,286 cc yang berkuasa 120 hp dan 115 Nm daya kilas pada putaran enjin tertinggi 6,000 rpm. 

Jadi, bagaimana beliau menjalankan transformasi tersebut?

Semuanya dilakukan sendiri, bermula daripada lakaran di atas sebuah kadbod kosong dan barangan alat ganti yang diperoleh daripada model yang sama, iaitu Kawasaki KZ1300.  

Antara kesukaran yang dihadapi adalah memastikan bagaimana kesemua omboh dan engkol mampu beroperasi dengan sempurna, disebabkan perbezaan yang sangat ketara daripada enjin asal dengan konfigurasi baharu V12 yang cuba dilakukan.
 


Sistem suntikan bahan api enjin ini menggunakan unit daripada Voyager, membolehkan talaan pembakaran dilakukan dengan mudah on-the-go, selain menggunakan saliran bahan api yang ditambahbaik dan bushing phosphor-bronze. 

Memandangkan enjin ini sudah dinaikkan sesarannya kepada 2,300 cc, rangka asal motosikal ini telah diperkuatkan menggunakan rangka kustom, selain menempatkan tangki bahan api yang lebih besar serta sistem suspensi yang lebih moden. 

Untuk memberhentikan jentera V12 yang berkuasa 250 hp ini dengan tenang, brek hadapan telah ditukarkan kepada brek Pretech enam piston. 
 


Hasil kerja tangan beliau sememangnya amat mengkagumkan kerana identiti asal motosikal ini masih lagi terpelihara, seolah-olah ia baharu sahaja keluar daripada kilang Kawasaki. 

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana Allen Millyard bekerja keras, anda boleh menyemak laman rasmi Facebook dan YouTube beliau.