Laluan Kenderaan Mikromobiliti - Kerajaan muktamadkan Garis Panduan

oleh Penyumbang Rencana|
Infografik Bernama pada 27 April 2022 - kenderaan mikromobiliti yang telah diharamkan penggunaannya di jalan raya
Kerajaan melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) memuktamadkan Garis Panduan Perancangan Laluan Kenderaan Mikromobiliti yang memperincikan mengenai pembangunan dan reka bentuk laluan bagi kenderaan tersebut.


Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, garis panduan itu memberi fokus kepada elemen keperluan infrastruktur serta kemudahan sokongan yang lain bagi kenderaan mikromobiliti iaitu jenis moped, personal mobility devices (PMD) dan personal mobility aids (PMA).
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

"Garis panduan ini disediakan sebagai dokumen panduan dan rujukan kepada jabatan atau agensi persekutuan, pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berkepentingan dalam merancang, membangunkan dan mereka bentuk laluan kenderaan mikromobiliti di kawasan pembangunan sedia ada dan pembangunan baharu.

 

"Dalam hubungan ini, pihak-pihak yang berkuasa berkenaan hendaklah menyediakan suatu infrastruktur jalan yang selamat bagi penggunaan kenderaan mikromobiliti tersebut, berdasarkan kepada garis panduan yang telah dibangunkan atau ditetapkan," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pada Rabu.

 

Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang ingin tahu solusi untuk pengusaha perkhidmatan sewaan kenderaan mikromobiliti yang terjejas pendapatan akibat penguatkuasaan undang-undang larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti di atas jalan raya.

 

Di samping itu, Hasbi berkata Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) juga sedang merangka satu keperluan spesifikasi atau program penilaian keselamatan berhubung kenderaan mikromobiliti, selain melihat keperluan mewujudkan satu standard atau piawaian kenderaan itu.

 

"Shah Alam melalui Majlis Bandaraya Shah Alam telah dipilih sebagai lokasi pertama pengujian atau lebih dikenali sebagai sandbox bagi menguji pakai kesemua garis panduan ini. Garis panduan dan projek sandbox ini akan dirasmikan pada 12 Mac 2023 di Shah Alam," katanya.

 

 

Bernama