Laluan 'maut' Batu 5 Kamunting, berpuluh tahun bergelap, kemalangan bersilih ganti

oleh Penyumbang Rencana|
perbezaan jalan semasa hari siang dan malam/gambar dari Astro Awani
Jalan di sepanjang Batu 5, iaitu Sungai Relong menuju Taman Lela di Kamunting, boleh diibaratkan sebagai 'laluan maut' menurut laporan dari Astro Awani.

Difahamkan keadaan tiada lampu jalan ketika suasana gelap khususnya awal pagi dan malam hari menyebabkan banyak kemalangan berlaku di laluan tersebut, termasuk meragut nyawa.

Menurut salah seorang penduduk di kawasan berkenaan, isu risiko kemalangan dan keselamatan itu sudah berpuluh tahun diajukan kepada pihak berwajib, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di situ.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Malangnya dakwa mereka, walaupun pentadbiran kerajaan bersilih ganti, namun tiada sebarang perubahan dan penyelesaian yang diambil, malah semakin dipandang sepi.

Kecewa dengan perkara itu, Bahari Mohd Disa, 60 tahun, yang menetap di Batu 5 menggesa pihak berkaitan untuk lebih serius menangani masalah itu, supaya tiada lagi kemalangan yang berlaku.

"Isu ini sudah diketengahkan kepada pihak berwajib termasuk ADUN Kamunting sejak tahun 2003 lagi, kami mahukan lampu jalan kerana kawasan ini sangat berbahaya di malam hari.

"Bila diajukan kepada ADUN, tidak kiralah yang dahulu atau sekarang, mereka berkata sudah laporkan perkara itu untuk tindakan selanjutnya, tetapi akhirnya diam begitu sahaja.

"Bercakap soal kemalangan sudah banyak kali berlaku, kami sudah lali, lagi-lagi kemalangan maut. Malah kawasan ini juga berhampiran dengan sekolah, ada juga kes pelajar sekolah putus kaki disebabkan kemalangan.

"Untuk jangka pendek, saya ambil inisiatif sendiri pasang lampu di depan pagar untuk pastikan kawasan jalan itu tidak terlalu gelap," katanya ketika ditemui.

Tambahnya lagi, walaupun ada usaha untuk meletakkan jalur rentas kuning bagi memberi amaran kepada pemandu berwaspada serta mengawal had laju kenderaan, namun ia tidak memberi sebarang impak.

"Bayangkan waktu malam dengan suasana yang sunyi dan tiada lampu jalan, sangat bahaya. Lagi-lagi apabila pemandu yang membelok ke rumah berhampiran tepi jalan, sebab itu ramai yang terpaksa membuat pusingan U untuk lebih selamat.

"Saya harap penantian ini berakhir, buatlah sesuatu untuk pastikan kawasan ini tidak lagi jadi kawasan kemalangan maut," katanya.

Sementara itu, salah seorang pengguna jalan raya yang dikenali sebagai Aiman, 26, berkata dia sering melalui jalan itu dan mengakui keadaan jalan berselekoh di situ juga antara faktor mengapa ia berbahaya.

"Saya pernah nampak kemalangan maut di antara motosikal dan kereta. Kemalangan itu meragut nyawa penunggang motosikal, sangat menyayat hati.

"Diharapkan jabatan atau wakil rakyat di kawasan ini lihat masalah yang perlu tindakan segera, ambil inisiatif terbaik untuk pastikan keadaan jalan di malam hari tidak lagi gelap gelita," katanya.

kamunting
Bahari memasang lampu di perkarangan rumah kerana jalan utama terlalu gelap/gambar dari Astro Awani

Astro Awani

Berita Berkenaan

Informasi
  Menurutnya, statistik dari 2018 hingga Januari 2020 merekodkan 1,485 kemalangan berlaku di Jalan…