Laluan uji kereta pandu sendiri pertama Malaysia diluluskan

oleh SALINA JALIL|
Laluan Pengujian Kenderaan Berautonomi (MyAV) pertama di negara ini yang terletak di Cyberjaya sudah diluluskan, dengan eMoovit Technology Sdn Bhd menjadi syarikat pertama diberi kelulusan menggunakan laluan berkenaan untuk pengujian kereta berautonomi atau kenderaan pemanduan sendiri mereka.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Ia diumumkan Futurise yang membangunkan laluan pengujian itu bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) di bawah inisiatif Sandbox Pengawalseliaan Nasional (NRS) untuk pembangunan projek kenderaan berautonomi atau kenderaan pandu sendiri.

 

Futurise adalah anak syarikat milik penuh Cyberview Sdn Bhd di bawah Kementerian Kewangan, yang berperanan sebagai penasihat dasar awam kementerian dan industri dalam membentuk Malaysia ke arah ekonomi masa hadapan.

 

eMoovit yang ditubuhkan pada 2016 adalah syarikat pemula tempatan dengan pengkhususan dalam bidang perisian kenderaan agnostik tanpa pemandu untuk laluan persekitaran bandar.

 

Syarikat itu membina perisian kenderaan tanpa pemandu berdasarkan komponen yang dapat mengubah kenderaan tertentu menjadi kenderaan autonomi dan dapat digunakan dalam aplikasi yang berbeza, seperti pengangkutan mil pertama/terakhir, pengangkutan logistik dan penyelesaian utiliti.

 

Futurise berkata, permohonan untuk menggunakan laluan pengujian kenderaan pemanduan sendiri di Cyberjaya itu mesti ditujukan kepada Futurise sebagai sekretariat yang mengesahkan aplikasi berkenaan bersama dengan Jawatankuasa Penilaian Pengujian Kenderaan Berautonomi yang dipengerusikan oleh MOT.

 

Ahli jawatankuasa lain termasuk Majlis Perbandaran Sepang, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia dan Pusat Pembangunan Automotif Universiti Teknologi Malaysia.

 

Menurut Futurise, Garis Panduan Percubaan Kenderaan Berautonomi di jalan awam di Cyberjaya sudah dibangunkan penghujung tahun lalu serta menerima pengesahan daripada MOT dan Majlis Perbandaran Sepang sebelum sebarang kerja dimulakan ke atas laluan-laluan yang akan diuji.

 

"Ia antara lainnya menggariskan Pelan Pengurusan Keselamatan yang merangkumi prosedur-prosedur mitigasi risiko serta langkah-langkah keselamatan yang perlu diamalkan," katanya.

 

Futurise berkata, segala infrastruktur yang diperlukan untuk laluan pengujian sepanjang tujuh kilometer ini telah dipertimbangkan dan diperlengkapkan merangkumi papan tanda jalan yang jelas menunjukkan zon pengujian kenderaan berautonomi yang ditempatkan di setiap jalan masuk ke kawasan pengujian.

 

"Mengambil kira aspek keselamatan pengguna jalan raya yang lain, seorang pegawai keselamatan terlatih diwajibkan berada di dalam kenderaan lengkap dengan pengecam visual sepanjang masa pengujian berjalan," katanya.

 

 

 

Berita Harian