Ketika Mazda mengumumkan generasi baharu sedan dan hatchback Mazda3 ketika acara Los Angeles Auto Show tahun lalu, enjin generasi baharu Skyactiv-X turut dimasukkan di dalam senarai penawaran enjin model tersebut.
Namun begitu, segala angka rasmi bagi enjin tersebut tidak pernah didedahkan secara rasmi, menjadi suatu tanda tanya pada kebanyakan orang.
Namun, berdasarkan satu dokumen dalaman yang terdedah di laman web rasmi Mazda Slovakia mengesahkan bahawa Mazda3 dengan enjin Skyactiv-X bakal menghasilkan 178 kuasa kuda dan 222 Nm daya kilas - sedikit kurang berbanding angka sasaran.
Jika merujuk kepada jadual yang diterbitkan semula oleh Jalopnik ini, terdapat tiga varian enjin yang bakal ditawarkan pada Mazda3 pasaran Slovakia iaitu:
- Skyactiv-G 1.5 liter (119 hp/150 Nm)
- Skyactiv-X 2.0 liter (178 hp/222 Nm)
- Skyactiv-D 1.8 liter (114 hp/270 Nm)
Versi sedan hanya akan mendapat pacuan roda hadapan sahaja, tidak seperti varian hatchback (GT) dengan dua pilihan pacuan termasuklah pacuan semua roda (AWD).
Apa yang menarik, hampir kesemua varian yang ditawarkan hadir dalam dua versi transmisi manual dan juga automatik.
Di Slovakia, harga Mazda3 Skyactiv-X bermula dari €23,190 (RM107 ribu) untuk kedua-dua sedan dan hatchback berpacuan roda hadapan, manakala versi hatchback AWD dijual paling mahal, bermula dari €29,290 (RM135 ribu).
Apa yang membezakan antara Skyactiv-X dan Skyactiv-G sedia ada ialah teknologi mampatan pembakaran bahan api yang tinggi digelar sebagai Spark Contolled Compression Ignition (SCCI) dan menggunakan campuran bahan api dan udara yang minima.
Ia dibantu dengan unit pengecas lampau bagi memaksa lebih banyak udara masuk bagi memastikan pembakaran tetap berlaku lebih sempurna pada kelajuan enjin yang tinggi.
Dakwa Mazda, sistem ini lebih efisien 20-30 peratus serta mampu menyalurkan lebih tenaga berbanding enjin Skyactiv-G.
Bulan lalu, kami berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat generasi baharu Mazda3 sedan yang dipamerkan pada acara Singapore Motorshow 2019, namun ketika artikel ini ditulis tiada sebarang maklumat lanjut berkenaan bilakah model ini bakal menyerang pasaran Malaysia.