Walaupun berusia, 350 GT kekal anggun yang merupakan hasil rekaan dan dikeluarkan oleh Carrozzeria Touring di Milan, Itali.
Badan 350 GT yang kemas dibuat daripada aluminium. Bahagian dalaman dibuat pada tahap tertinggi dengan penggunaan kulit secara meluas dan riasan krom.
Perhatikan rekaan perkakasan pada panel pintu selain gugusan meter dan susunan suis yang dibuat kemas dan teratur.
350 GT mempunyai tiga tempat duduk atau 2 + 1 dengan seorang penumpang di bahagian tengah belakang.
Menggerakkan 350 GT ialah enjin 3.5 liter V12 dengan empat aci sesondol atas yang direka Giotto Bizzarrini.
Enjin itu asalnya dibuat untuk perlumbaan dan disesuaikan untuk jalan raya awam oleh Paolo Stanzani.
Beliau merupakan watak penting dalam sejarah Lamborghini dan kereta GT di serata dunia.
Casis dan rangka kereta hasil kerja Giampaolo Dallara yang masih muda ketika itu dan sekarang ini dianggap sebagai pembuat casis terbaik dunia.
Enjin V12 Lamborghini dinaikkan kepada 4.0 liter dan diguna pada 400 GT dan beberapa lagi seperti Islero, Jarama, Espada dan dipasang di depan dalam bentangan menegak.
Kenderaan off-road LM 002 (ayahanda Urus) turut menggunakan bentangan sama.
Enjin itu dipusing atau dipasang di dalam keadaan melintang di belakang Miura dan dipusing kembali pada kedudukan menegak di belakang Countach dan Diablo.
Unit yang dipamerkan di Geneva menggunakan nombor casis #101 dalam warna Metallic Geneva Green dan dalaman putih.
Kereta itu kemudiannya digunakan sebagai unit ujian pembangunan dan ketahanan dan malangnya terlibat dalam kemalangan dari belakang semasa berhenti di lampu isyarat.
Casis kedua 350 GT berwarna Metallic Gray dan dalaman merah dihantar dari Sant’Agata Bolognese dan diserahkan kepada pemuzik, Giampiero Giusti di Geneva pada 15 Ogos 1964.
Unit tersebut merupakan kereta produksi Lamborghini tertua dan telah dibaik pulih dan diperakui Lamborghini Polo Storico.
Bagi meraikan sejarahnya, Lamborghini membawa kembali casis kedua ke Geneva iaitu lokasi pertama 350 GT dipertontonkan dan diserahkan enam dekad lalu.
Spesifikasi Lamborghini 350 GT (1964-1965):
- Enjin L351 3,464 cc V12 pada kedudukan 60 darjah
- Kotak gear manual lima kelajuan ZF
- Bentangan depan menegak
- Gerek dan lejang 77 x 62 mm
- 2 injap satu silinder, aci sesondol atas kembar, pacuan rantai
- 316 hp pada 7,000 rpm
- 6 karburetor Weber 40 DCOE berkembar
- 4 ampaian bebas, pegas gegelung, penyerap hentak teleskopik
- 4 brek cakera
- 4,470 mm (p), 1,720 mm (l), 1,220 mm (t)
- Jarak roda 2,550 mm
- Lebar trek 1,380 mm (depan dan belakang)
- Tayar 205/15
- Berat 1,100 kg
- 135 buah dikeluarkan
Penulis: Muhammad Md Tajudin